KOTA BHARU, 22 Ogos (Bernama) -- Skuad Kelantan The Real Warriors (TRW) bakal berdepan cabaran getir menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, malam esok.
Ketua Jurulatih Kelantan TRW E. Elavarasan berkata Sabah FC merupakan pasukan berpengalaman serta memiliki kualiti permainan yang tinggi.
“Mereka sudah lama beraksi dalam Liga Super, jadi kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar untuk mencuri mata sebagai bekalan pulang ke Kota Bharu.
“Selain pengalaman luas, pasukan lawan turut dibarisi pemain tempatan serta import yang berkualiti,” katanya kepada Bernama hari ini.
Selepas dua perlawanan Liga Super, TRW kini berada di tangga ke-12 dengan satu mata hasil satu kekalahan dan satu seri manakala Sabah FC menghuni tempat kelapan dengan satu mata selepas satu perlawanan.
E. Elavarasan berkata beliau mahu anak buahnya mengekalkan rentak kemenangan ke atas Kuala Lumpur City FC dalam aksi Piala FA minggu lepas, apabila turun menentang Sabah FC nanti.
“Tumpuan saya ketika latihan adalah memperbaiki prestasi pasukan berbanding perlawanan lepas. Kami perlu bekerja lebih keras untuk mencipta persembahan lebih baik kerana saingan Liga Super sangat mencabar.
“Begitu juga dari aspek keserasian, saya mahu pemain lebih mantap dan mengurangkan kesilapan kecil yang boleh membuka ruang kepada lawan mencipta jaringan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjangkakan pertembungan malam esok sengit namun mahu pemainnya tampil dengan corak permainan berkualiti tanpa memberi peluang mudah kepada Sabah FC.
“Walaupun beraksi di tempat lawan, saya tidak mahu pemain mudah mengalah. Mereka perlu bermain habis-habisan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial