BELANJAWAN 2025 > BERITA

PM Anwar Tegaskan Perhimpunan Aman Di Hadapan Parlimen Tidak Wajar Dihalang - Fahmi

22/08/2025 05:59 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang bentuk perhimpunan aman di hadapan Bangunan Parlimen tidak wajar dihalang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata pendirian itu dizahirkan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dengan penekanan supaya aspek keselamatan dan kelancaran lalu lintas diberi perhatian.

“Terdapat perbincangan mengenai cadangan menyediakan lokasi khusus bagi mana-mana pihak menyerahkan memorandum, contohnya di Padang Merbok.

“Namun, Perdana Menteri menegaskan perhimpunan di hadapan Parlimen tidak harus dihalang serta menolak cadangan pemindahan lokasi itu,” katanya pada sidang media mingguan di sini.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa meneliti beberapa penambahbaikan di kawasan Padang Merbok agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.

“Perdana Menteri turut meminta pagar di sekitar Padang Merbok ditambah baik supaya ia lebih mesra pengguna dan boleh digunakan masyarakat dengan lebih selesa,” katanya.

Selasa lepas, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarah membuka pintu pagar Padang Merbok bagi membolehkan orang ramai memanfaatkannya sebagai ruang rekreasi bersama keluarga dan komuniti.

Zaliha berkata Padang Merbok yang mempunyai nilai sejarah wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk aktiviti riadah rakyat, selaras dengan visi Bandar CHASE yang menekankan konsep Healthy City (bandar sihat).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan