BELANJAWAN 2025 > BERITA

Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan Ibarat 'Sijil Lahir' - Arkib Negara

23/08/2025 09:46 AM

Oleh Nur Syuhada Yusof

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Setiap kelahiran pastinya direkodkan dengan catatan rasmi iaitu sijil kelahiran, sebuah dokumen penting yang menjadi bukti sah kepada identiti serta permulaan perjalanan hidup seseorang sebagai anggota masyarakat dan warganegara.

Demikian juga kelahiran Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang dicatatkan dalam Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang menjadi simbol pengisytiharan rasmi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada penjajahan British serta penubuhan sebuah negara berdaulat.

Pengarah Bahagian Pengembangan Arkib Negara Malaysia Siti Hawiyah Manan berkata dokumen itu bukan sekadar lembaran penting sejarah malah dianggap sebagai ‘sijil lahir’ rasmi negara.

“Watikah ini ditulis tangan dengan penuh teliti di atas kulit kambing menggunakan teknik penulisan manuskrip Melayu tradisional yang disertakan dengan ukiran kerawang.

“Ia merupakan hasil kerja beberapa individu, termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Pertama),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Arkib Negara Malaysia di sini baru-baru ini.

Siti Hawiyah berkata watikah pemasyhuran tersebut diterbitkan dalam dua versi yang saling melengkapi, iaitu dalam bahasa Melayu bertulisan jawi dan bahasa Inggeris bertulisan rumi.

Menurut rekod sejarah, beliau berkata teks asal watikah disediakan oleh pejuang kemerdekaan Ibrahim Mahmood dengan bantuan beberapa tokoh nasionalis Melayu, termasuk Senu Abdul Rahman manakala penulisan tangan watikah pula dilakukan oleh seorang lelaki berasal dari Kelantan.

Beliau berkata watikah berukuran 750mm x 500mm itu dihias indah menggunakan reka bentuk serta hiasan tradisional manuskrip Melayu. 

"Ia menggunakan unsur warna polikromatik, dengan biru daripada serbuk permata laswardi, merah daripada bahan semula jadi, dan kuning emas menggunakan emas tulen 24 karat," katanya.

Siti Hawiyah berkata tulisan berwarna merah turut digunakan untuk menonjolkan perkara penting dalam dokumen tersebut, sebagaimana lazimnya dalam manuskrip Melayu. 

Siti Hawiyah berkata antara isi kandungan penting watikah tersebut ialah perisytiharan bahawa semua negeri Melayu termasuk Melaka dan Pulau Pinang akan kekal berdaulat, merdeka dan berpegang kepada prinsip demokrasi, serta pelantikan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau berkata watikah tersebut ditandatangani dalam tulisan jawi dengan hanya meletakkan nama "Abdul Rahman Putra" sebagai tanda sah, tanpa menggunakan tandatangan dalam bentuk konvensional. 

Berusia lebih enam dekad sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini, Siti Hawiyah berkata dokumen asli tersebut telah menjalani dua proses pengawetan dan penkapsulan, sejajar dengan piawaian pemuliharaan antarabangsa.

“Dokumen ini diawet sekali sahaja untuk mengawal tahap pH, kemudian dijilid dan dialas menggunakan bahan khas seperti plastik sebelum dikapsul,” katanya.

Bagi memelihara khazanah negara yang begitu berharga itu, beliau berkata berkata dokumen itu kini disimpan rapi dalam sebuah bilik kebal khas yang mempunyai kawalan suhu dan kelembapan, menggunakan peralatan seperti hydrolog dan dehumidifier bagi memastikan ia tidak rosak.

“Bilik ini mengekalkan kelembapan tidak melebihi 55 peratus. Ia tidak boleh diakses sewenang-wenangnya demi keselamatan bahan arkib negara,” katanya.

Siti Hawiyah berkata dokumen berkenaan telah dipindahkan dari Pejabat Perdana Menteri ke Arkib Negara kira-kira setahun atau dua tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Mengulas tentang ketulenan dokumen itu, beliau berkata semua bahan arkib termasuk dokumen berkenaan adalah daripada sumber sah iaitu pejabat awam Persekutuan dan negeri, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629).

“Sesuatu bahan hanya boleh diiktiraf sebagai bahan arkib selepas berusia 25 tahun, dan pemilihan dibuat berdasarkan nilai kekal, kepentingan nasional dan integriti dokumen tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat salinan rasmi dokumen pengisytiharan dalam bahasa Cina dan Tamil, menggambarkan keharmonian dan kepelbagaian masyarakat Malaysia sejak awal kemerdekaan.

Arkib Negara kini memelihara lebih empat juta bahan arkib termasuk dokumen, foto dan rakaman video, yang dijaga oleh lebih 500 pegawai dan petugas. 

Siti Hawiyah turut menyeru orang ramai, khususnya generasi muda, supaya memanfaatkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengunjungi Arkib Negara dan melihat sendiri Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan sebagai bukti sahih kelahiran negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan