BELANJAWAN 2025 > BERITA

APM Perkukuh Modul Latihan, Tekankan Kesiapsiagaan Komuniti

23/08/2025 12:52 PM

KLUANG, 23 Ogos (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat memperkukuh modul latihan jurulatih, pegawai baharu dan komuniti bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi bencana, krisis dan darurat yang kian mencabar.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata usaha itu melibatkan penambahbaikan menyeluruh terhadap kursus sedia ada termasuk program Civil Defence Auxiliary Member (CDA) dan inisiatif Kampung Siaga 221 yang kini memasuki Fasa 2.

“Setiap kali ada pelantikan baharu, modul latihan akan diperkemas supaya bersesuaian dengan keperluan semasa. Pada awal tahun ini, kita telah menambah jumlah jurulatih kepada lebih 1,000 orang sekali gus membolehkan pelaksanaan modul baharu yang lebih dinamik.

“Fasa 2 Kampung Siaga 221 bukan sahaja melatih komuniti menyelamatkan kawasan sendiri malah bersedia membantu di kawasan lain apabila diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Pemantapan Pegawai Perkhidmatan Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam Lantikan Siri 16 Tahun 2025 di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Selatan (Pulapas) di sini hari ini.

Beliau berkata pemerkasaan latihan di peringkat komuniti amat penting kerana bencana tidak mengenal lokasi dan penduduk setempat perlu bersedia bertindak sebelum bantuan profesional tiba.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Abd Shukor Mahmood dalam ucapan perasmiannya berkata latihan berterusan dan pengambilan anggota baharu adalah kunci dalam memastikan APM sentiasa relevan serta mampu bertindak pantas dalam apa jua keadaan.

“Berdasarkan Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221), APM memainkan peranan penting dalam tiga situasi utama iaitu masa aman, bencana dan krisis. Pemerkasaan latihan secara berkala amat perlu bagi memastikan kesiapsiagaan negara tidak pernah dikompromi,” katanya.

Beliau berkata usaha meningkatkan fasiliti latihan, kepakaran dan bilangan jurulatih sejajar dengan komitmen kerajaan memperkukuh semangat kesukarelawan serta solidariti rakyat demi keselamatan negara.

Pada majlis itu, 91 pegawai lantikan tetap (interim) dan 127 pegawai lantikan kontrak APM menerima Watikah Lantikan Pegawai Skim Keselamatan dan Pertahanan Awam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM Datuk Ismail Mohd Zawawi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan