BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bangkit Daripada Kegelapan: Wanita Yang Melawan Ketagihan, Menginspirasikan Dan Menentang Stigma

23/08/2025 02:27 PM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Suatu ketika dahulu, hidup Nurul (bukan nama sebenar) diselubungi kegelapan, tercari-cari cahaya yang mampu membimbing dirinya ke jalan yang benar.

Kini, pada usia 34 tahun, dia membawa memori masa silam – parut, khilaf, kepercayaan yang dikhianti dan iman yang dilupakan.

Namun, ketika berbicara hari ini, ada keteguhan dalam suara ibu kepada tiga anak itu. Sarat dengan harapan hari esok yang bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga buat setiap wanita yang pernah melalui lorong gelap sepertinya.

Dia masih ingat kali pertama menyentuh dadah – pada 2022 – ketika rumah tangganya mula retak dan hidupnya terumbang-ambing, kehilangan dahan untuk berpaut. Dia memilih jalan yang salah, tidak mempedulikan kesan dan akibat terhadap dirinya.

Dengan wang yang diperoleh hasil menjual dadah di Perak dan Kelantan, yang dibekalkan oleh seorang rakan dari sempadan, segalanya kelihatan mudah. Amat mudah sekali.

"Ketika itu, saya tidak fikir apa-apa … saya tidak fikir fasal solat, ibu bapa, malah anak-anak saya juga. Saya hanya mahu gembira, ketawa dan 'hilang' bersama kawan-kawan," katanya.

Bagaimanapun, kebahagiaan yang terbina berdasarkan ilusi, runtuh dengan cepat.

Bagi Nurul, kejatuhannya bermula apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahannya. Dia dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) selama dua tahun. Di situ, dia menilai kembali dirinya dan belajar membuka lembaran hidup yang baharu.

Di pusat pemulihan itu juga, dia menemukan sesuatu di sebalik tembok – ada kemahiran untuk dipelajari, kelas yang perlu dihadiri, dan kesabaran mereka (pegawai pemulihan) yang percaya dia masih mampu berubah.

Kelas memasak, mencanting batik, ceramah agama; mungkin perkara kecil, tetapi menjadi talian hayat buat dirinya.

"Di sinilah … saya mula nampak cahaya di hujung terowong. Nasihat, bimbingan, dorongan … mereka memberi saya kekuatan untuk berhadapan dengan keluarga dan masyarakat semula," katanya tenang.

Hari ini, Nurul bukan lagi seorang pengedar dadah, tetapi seseorang yang memiliki segunung impian.

Dia mengusahakan perniagaan kosmetik secara dalam talian, memperoleh ribuan ringgit sebulan. Bukan sekadar wang, tetapi yang lebih berharga dia berjaya membuktikan bahawa kehidupan ini boleh dilakar semula.

 

MENJAGA WANITA YANG DIUJI DENGAN KESUSAHAN

 

Bagi Nik Affezah Nik Ab Ghani, jalan pulangnya bermula pada Jun 2020. Selama 17 bulan di Puspen Bachok ternyata memberikan masa kepada dirinya – masa untuk pulih, masa untuk menyesal, dan masa untuk melihat kesilapan lampau dengan pandangan baharu.

Pada usia 45 tahun, dia tidak lagi menceritakan kesilapannya dengan perasaan malu, tetapi dengan keazaman.

Wanita yang pernah tersungkur satu masa dahulu kini menjadi Pembimbing Rakan Sebaya di pusat berkenaan. Sejarah hitam yang pernah dilalui, katanya bukan lagi beban, tetapi menjadi batu loncatan. Peringatan bahawa dia telah bertahan dan ketahanan itu boleh dikongsi bersama.

“Harapan saya adalah untuk memberikan semangat kepada wanita yang pernah bergelut seperti saya dahulu. Setiap kali saya bercerita, saya mahu mereka membuka hati dan mengingatkan bahawa, tidak pernah terlambat untuk bangkit,” katanya sambil mengakui untuk berubah bukanlah mudah.

Pengaruh untuk melakukan tabiat lama amat kuat dan ketakutan untuk jatuh semula tetap ada. Namun, dia percaya kehadiran orang lain – mereka yang menggembirakan, membimbing, enggan mengalah – mampu mengubah pengakhiran.

“Tiada yang mustahil, tetapi tiada sesiapa yang berubah sedirian,” katanya.

Di satu sudut di Puspen, Farhana (bukan nama sebenar) sedang memilih jalannya.

Berumur 32 tahun, dia berbaki tiga bulan lagi sebelum melangkah keluar ke dunia sebenar. Dia mengimpikan kehidupan yang telah lama diidamkan – kedamaian, kasih sayang dan sokongan keluarga – namun, dia tahu dugaan paling berat mungkin bukan dadah semata-mata.

Dia bimbang akan stigma masyarakat, yang dirasakan lebih kejam daripada usaha melepaskan diri daripada ketagihan najis dadah. Dia risau akan pandangan, bisikan dan prejudis orang lain yang mampu merendahkan seseorang dengan anggapan, ancaman atau bebanan.

“Untuk berubah, tidak boleh bergantung pada kami sahaja. Masyarakat juga perlu belajar melihat kami dari sudut pandang berbeza. Tanpa penerimaan, mereka yang ingin membina semula kehidupan akan terperangkap antara kisah silam dengan penilaian dunia.

“Jangan biarkan dadah merampas maruah atau masa depan kita. Kita layak untuk berasa bahagia, kita berhak dihormati. Jika saya mampu bangkit kembali, wanita lain yang senasib dengan saya juga mampu lakukannya. Masa lepas tidak seharusnya menentukan siapa kita pada hari esok,” katanya lembut, namun terselit ketegasan.

 

PERANAN ASEAN DALAM MELINDUNGI WANITA

 

Di Malaysia, AADK merekodkan peningkatan konsisten bagi bilangan wanita yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, iaitu 5,712 kes pada 2022, bertambah menjadi 6,318 kes pada tahun seterusnya dan meningkat kepada 8,638 kes pada 2024.

Menurut Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Siti Mariam Mursidan, tiga faktor yang sering menarik wanita ke kancah jenayah itu ialah pengaruh rakan sebaya, rasa ingin tahu yang mendalam, dan janji keseronokan yang hanya sementara.

Bagi pakar kriminologi Dr Haezreena Begum Abdul Hamid, kisah wanita seperti Nurul, Nik Affezah dan Farhana bukan kes terpencil.

Beliau berkata jenayah dadah rentas sempadan dalam kalangan golongan ini di negara ASEAN perlu diberi perhatian dengan mewujudkan protokol serantau yang melindungi wanita daripada menjadi mangsa eksploitasi sindiket.

“Wanita sering dipergunakan kerana dianggap kurang 'mencurigakan' oleh pihak berkuasa, terutamanya di lapangan terbang dan sempadan, malah golongan ini juga mudah dimanipulasi melalui janji manis, tawaran duit yang tinggi.

"Ada juga yang dipaksa oleh pasangan atau ahli keluarga, tidak kurang juga yang terperangkap akibat terdesak," kata Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-undang Universiti Malaya itu.

Haezreena berkata jawapan kepada permasalahan ini ialah ASEAN perlu bertindak lebih sekadar sebagai jiran yang berkongsi sempadan. 

Beliau berkata kaedahnya adalah melalui gabungan pembaharuan undang-undang, amalan keadilan jenayah yang trauma-informed, kerjasama antara negara terlibat secara berterusan dan intervensi sosioekonomi dengan komuniti sempadan.

"Pada masa yang sama, semakan terhadap andaian undang-undang dadah yang mengalihkan beban pembuktian, misalnya andaian pemilikan atau pengetahuan wajar dipertimbangkan supaya sejajar dengan prinsip mens rea (niat jahat) bagi pembawa yang dieksploitasi," katanya.

Sementara itu, pakar geostrategi Profesor Dr Azmi Hassan pula bersetuju bahawa perjuangan tidak boleh terhenti di mahkamah atau tembok penjara.

"Perjuangan seharusnya bermula di kampung-kampung, lapangan terbang dan pintu sempadan. Di tempat tinggal wanita terbabit dan lokasi sindiket menjumpai mereka.

"Kempen kesedaran perlu dipergiatkan pada peringkat komuniti, terutama golongan wanita yang tinggal di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah serta mendedahkan mereka cara sindiket dadah ini mendekati seterusnya memperdaya mereka, pengetahuan ialah perlindungan," katanya.

Selain kesedaran, beliau berkata wanita yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah perlu diberi program pemulihan khas yang bersifat holistik dan peka terhadap trauma yang merangkumi sokongan psikologi, latihan dan peluang pekerjaan.

"Negara ASEAN juga boleh berkongsi amalan terbaik dalam pendekatan rehabilitasi wanita yang berkesan kerana jika masyarakat terus menghukum tanpa memulihkan, kitaran ini akan terus berulang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan