BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kek Tanjak Cetus Semangat Cintakan Negara, Semarak Rasa Patriotik

24/08/2025 11:00 AM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

BATU PAHAT, 24 Ogos (Bernama) -- Tanjak kebiasaannya sinonim dengan busana tradisional pahlawan Melayu, namun seorang pengusaha kedai kek di Parit Raja di sini, mengambil inisiatif menzahirkannya menjadi seni kulinari dengan menggubahnya dalam bentuk kek bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Kek itu dihiasi dengan keratan kertas berbentuk tanjak bertemakan Jalur Gemilang, melingkari sisi kek yang dihasilkan selain turut dihias dekorasi ringkas, sekali gus membangkitkan aura semangat patriotisme.

Pegawai Pemasaran D’Honey Bakery, Azua Nasiha Rosli, 30, berkata idea menghasilkan kek tanjak itu bermula pada 2016 sebagai usaha mempopularkan warisan busana Melayu ke dalam seni bakeri, bagi mendekatkan generasi muda dengan seni warisan bangsa itu dengan cara yang kreatif.

“Kami mahu memupuk semangat cinta bangsa dam negara melalui sesuatu yang dekat di hati masyarakat dan tanjak ini yang biasanya dipakai di kepala, kita mahu mempopularkannya lagi dengan diinovasikan ke dalam bentuk kek,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata pihak sekolah menjadi antara pelanggan utama kerana pelajar begitu teruja menjadikan kek itu sebagai simbol sambutan Hari Kebangsaan di sekolah mereka.

Selain kek tanjak, kek yang bertemakan patriotik seperti kek cawan Jalur Gemilang, ‘Gemilang Cake’ dan ‘Merdeka Splash Cake’ yang dihasilkan kedai bakeri itu turut laris sepanjang bulan Ogos ini.

Azua Nasiha berkata kedai kek berkenaan yang telah beroperasi selama 12 tahun, pernah mencuri perhatian pada 2023 apabila menghasilkan kek bertemakan watak animasi Mechamato memegang Jalur Gemilang sehingga mencetuskan fenomena ‘Mecha-Merdeka’.

“Malah pada 2019, kami menerima tempahan istimewa Merdeka daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Suria Perdana untuk menghasilkan satu kek gergasi menggunakan 52 biji kek bersaiz 12 inci yang dihasilkan bersama guru dan pelajar,” katanya.

Beliau berkata kedai bakeri itu yang mempunyai 40 tenaga kerja dan tiga cawangan kedai di sekitar Batu Pahat, kini merancang memperluas konsep patriotik terhadap penghasilan produk pastri lain termasuk roti serta piza bercorak bendera bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Sementara itu, seorang kakitangan awam Mashitah Abd Kadir, 37, memuji kek tanjak sempena Bulan Kebangsaan itu yang disifatkan sebagai inovasi kreatif yang menggabungkan keindahan warisan Melayu dengan rasa yang digemari ramai.

“Saya cukup suka kek tanjak ini, cantik, unik dan rasanya disukai anak-anak saya. Ia bukan sahaja memeriahkan sambutan Merdeka, tetapi juga menghidupkan semangat cintakan negara dengan sentuhan tradisi Melayu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan