BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fahmi Bantah Tindakan TikTok Lantik Bekas Pelatih IDF

24/08/2025 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil membantah keputusan platform media sosial, TikTok untuk melantik seorang bekas anggota tentera Israel (IDF) sebagai pengurus kandungan kebencian di New York, Amerika Syarikat.

Beliau berkata tindakan itu sebagai tidak sensitif dan tidak berintegriti daripada platform berkenaan, selain khuatir penggunaan algoritma untuk mengawal jenis kandungan bagi pengguna di Malaysia.

“Selepas mengetahui pelantikan itu, saya segera menyampaikan bantahan awal dengan menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif TikTok sendiri. Namun, maklum balas yang diterima adalah sangat PR, mengatakan pelantikan itu tiada kaitan dengan isu Palestin.

“Mereka mungkin berkata itu separate tapi saya tak lihat itu sebagai satu perkara yang separate. Saya bimbang ia membuka ruang kepada kandungan berunsur pro-Zionis mempengaruhi algoritma TikTok kepada pengguna di Malaysia,” katanya selepas merasmikan Pameran Inovasi Realiti Maya (VR) Kemanusiaan Gaza sempena Karnival Sumud Nusantara di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Fahmi turut mempersoalkan tindakan TikTok membayar gaji yang tinggi kepada bekas pelatih IDF itu pada masa mereka sedang memberhentikan ramai pekerja, termasuk di Malaysia, susulan peralihan ke arah kecerdasan buatan (AI).

Berikutan itu, beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan wakil TikTok di Malaysia bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara pada awal bulan depan, untuk penjelasan lanjut daripada platform media sosial itu.

Beliau juga tidak menafikan bahawa tindakan tegas boleh diambil ke atas platform tersebut yang telah dilesenkan di Malaysia, namun ia akan diputuskan selepas pertemuan bulan depan.

“Apa-apa tindakan pun perlulah bersifat rasional kerana kita tahu TikTok juga menjadi ruang perniagaan dan sumber rezeki ramai rakyat Malaysia, termasuk peniaga kecil dan penggiat kandungan. 

“Jadi, pendekatan kita harus seimbang, melindungi kepentingan pengguna tempatan, tetapi pada masa sama memastikan ia tidak diracuni elemen yang bertentangan dengan prinsip Malaysia,” katanya.

Fahmi berkata pendirian Malaysia akan kekal konsisten dalam menyokong kebebasan Palestin tanpa syarat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan