BELANJAWAN 2025 > BERITA

SSM Sumbang Wakalah Zakat Korporat Kepada Hospital, Institusi Keagamaan Di Kemaman

24/08/2025 05:57 PM

CHUKAI, 24 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menyalurkan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM282,350 kepada Hospital Kemaman dan lapan institusi keagamaan sekitar daerah itu.

Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz mewakili Pengerusi Ahmad Sabki Yusof pada Program Kasih SSM-Sumbangan Peralatan Perubatan dan Majlis Penyerahan Wakalah Zakat Korporat kepada Institusi-Institusi Agama di sini.

SSM dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu sebagai komitmen berterusan suruhanjaya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat dan kemudahan awam.

“Sumbangan ini merangkumi RM242,350 bagi pembekalan sembilan jenis peralatan perubatan berteknologi tinggi kepada Hospital Kemaman termasuk pam picagari, pam infusi, inkubator Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan pneumatic tourniquet

“Peralatan ini akan digunakan bagi menyokong rawatan serta pemulihan pesakit di samping meningkatkan keupayaan hospital memberi perkhidmatan kesihatan lebih cekap dan berkualiti,” menurut kenyataan itu.

SSM turut mengagihkan RM40,000 kepada lapan institusi keagamaan sekitar Kemaman iaitu Akademi Pengajian Al Bahjah, Maahad Tahfiz Al-Itqan, Persatuan Kebajikan Al-Islam Huzai, Masjid Jamek Kemasik dan Masjid Kampung Semayor.

Turut menerima ialah Masjid Kampung Bukit Kukuran, Surau An-Nur dan Surau Kampung Feri Kemasik, dengan dana tersebut untuk menaik taraf infrastruktur agar lebih selesa bagi kegunaan masyarakat setempat. 

SSM memaklumkan sejak beberapa tahun lepas, suruhanjaya menyalurkan sumbangan peralatan perubatan bernilai keseluruhan melebihi RM1.4 juta kepada lapan hospital iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Selangor dan Hospital Sultanah Aminah di Johor.

Turut menerima sumbangan ialah Hospital Sultanah Maliha di Kedah, Hospital Kapit di Sarawak, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Papar di Sabah serta Hospital Seri Manjung di Perak.

Bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Julai, SSM mengagihkan dana Wakalah Zakat Korporat berjumlah lebih RM5.1 juta kepada 7,773 penerima asnaf di seluruh negara dan menyalurkan lebih RM400,000 melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada 480 penerima.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan