BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jangan Lelah Atau Putus Asa Desak Israel Hentikan Kekejaman Terhadap Palestin - PM

25/08/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Umat Islam dan komuniti antarabangsa perlu terus berusaha tanpa putus asa dalam memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan kezaliman terhadap Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kekejaman yang berlaku di bumi Palestin merupakan satu ujian besar buat seluruh umat Islam dan pencinta keamanan di seluruh dunia.

“Kita mesti terus mengorak langkah... jangan rasa terbeban untuk melangkah... ya, memang melelahkan, kadang-kadang mengecewakan, kadang-kadang rasa tiada harapan... percayalah dengan pertolongan Allah,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas solidariti 'Malaysiaku Bersama Gaza' di Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka malam ini yang disertai oleh ribuan umat Islam.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Hadir sama Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Anwar berkata beliau akan terus menggunakan kedudukan serta kuasanya untuk menyuarakan tuntutan pembebasan Palestin di peringkat antarabangsa.

“Sekarang saya sudah menjadi Perdana Menteri. Saya guna kuasa sedaya upaya, bercakap dengan pemimpin Islam, China, India, Jepun… tidak pernah sekalipun saya tinggalkan saudara-saudara saya di Gaza dan Palestin. Saya merayu, saya mendesak,” katanya.

Beliau berkata hasil tekanan berterusan serta bukti kezaliman Zionis yang semakin terserlah, banyak negara mula membuka mata dan secara terbuka menolak keras tindakan Israel itu.

Perdana Menteri berkata negara-negara berkenaan turut menuntut pembebasan dan pembangunan semula wilayah yang musnah akibat serangan berterusan rejim itu.

“Dalam keputusan-keputusan dunia, kita bersama bukan sahaja dengan negara Islam malah Sepanyol, Brazil dan Afrika Selatan tegas mengecam Israel… ada perubahan suara-suara orang yang berani menolak penjajahan dan kezaliman zionis Israel,” katanya.

Anwar turut menzahirkan harapan serta doa agar Konvoi Sumud Nusantara yang dijadual menyertai flotila bantuan ke Gaza pada 31 Ogos dan 4 Sept ini selamat tiba bersama misi itu.

Beliau menyifatkan gerakan solidariti ke Gaza itu bukan sahaja membawa bantuan kemanusiaan malah menjadi bukti nyata kepada ketegasan pendirian Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Pada majlis itu, Perdana Menteri melepaskan Konvoi Sumud Nusantara 2025 untuk Flotila Gaza yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

Beliau juga menyeru golongan muda agar mempertahankan keamanan dan menjauhi sebarang bentuk perpecahan dalam negara.

“Jangan tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat, binalah kekuatan baharu. Saya pesan kepada anak-anak muda, bangkit jaga negara ini biar benar-benar merdeka dan maju, biar membangun bersama bangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan