KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim meneruskan rentak kemenangan dalam aksi Liga Super 2025/2026 selepas menumpaskan Kuching City 0-1 di Stadium Negeri Sarawak hari ini.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan sama kuat apabila tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan.
Memasuki babak kedua, nasib tidak menyebelahi tuan rumah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Yuki Tanigawa dilayangkan kad merah akibat mengasari pemain JDT Joao Figueiredo pada minit ke-49.
Kesempatan itu dimanfaatkan oleh pelawat apabila Jairo De Macedo Da Silva meledak gol kemenangan Harimau Selatan pada minit ke-61 untuk memastikan tiga mata penuh milik JDT.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Penang FC terus kempunan meraih kemenangan pertama mereka musim ini apabila tewas 1-2 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Bandaraya.
Pada aksi itu, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail bermula garang dan hampir berada di depan pada minit ke-13, namun percubaan lemah Dylan Wenzel-Halls sekadar tersasar melepasi gawang.
Pasukan pelawat berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-34 apabila Muhammad Safawi Rasid memperdaya Muhammad Adib Ra’op dan Stefano Brundo di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kaki kiri tepat ke gawang sekali gus meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Babak kedua menyaksikan Harimau Kumbang dihadiahkan sepakan percuma seawal minit permainan selepas pemain sayap Wan Zack Haikal dijatuhkan pihak lawan.
Sepakan percuma yang diambil Dylan disempurnakan Stefano yang menanduk masuk bola ke gawang pada minit ke-48 sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Bagaimanapun, skuad warga kota kembali bangkit untuk memperkemas permainan dan berjaya meraih gol kemenangan menerusi sepakan kencang Mohamad Kamal Azizi pada minit ke-77 yang menewaskan penjaga gol tuan rumah.
Di Negeri Sembilan, tuan rumah bangkit daripada ketinggalan pada babak pertama untuk menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Skuad kendalian Nidzam Jamil bermula hambar pada babak pertama apabila dibolosi seawal minit ke-12 menerusi tandukan pemain import Selangor Richmond Ankrah.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan FC tidak mengalah apabila bangkit pada penghujung perlawanan menerusi dua gol pemain importnya Mio Tsuneyasu masing-masing pada minit ke 83 dan 90+2 untuk memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial