BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dewan Rakyat Lulus RUU Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam 2025

25/08/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang bertujuan memperluas akses kepada keadilan serta menstruktur semula sistem bantuan guaman sedia ada supaya lebih cekap dan menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU itu akan memodenkan kerangka perundangan dengan merangkumi bantuan guaman sivil dan syariah, pengantaraan serta pendampingan guaman bagi kes melibatkan kanak-kanak.

Beliau berkata menerusi undang-undang baharu itu, sistem bantuan guaman dan pembelaan awam akan menjadi lebih inklusif termasuk khidmat nasihat guaman secara elektronik (dalam talian).

“Kita tak nak situasi, selalunya dalam kes-kes yang berlaku untuk bantuan guaman, dah lah mereka tak mampu nak dapatkan peguam, nak pergi jumpa peguam pun kadang-kadang tak mampu.

“… sekurang-kurangnya dalam perkara ini, mereka juga boleh menggunakan servis ini (nasihat guaman secara elektronik), yang bagi saya sesuatu yang baik bagi rakyat," kata beliau ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata menerusi RUU itu, fungsi khidmat bantuan guaman YBGK akan diambil alih Jabatan Bantuan Guaman (JBG) menerusi Ketua Pembelaan Awam dan kerajaan akan menyelesaikan bayaran hutang kepada peguam-peguam yang telah memberikan perkhidmatan di bawah YBGK.

RUU berkenaan bertujuan memansuhkan Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26) dengan cadangan untuk menaik taraf khidmat bantuan guaman dalam prosiding jenayah dengan menamakannya semula sebagai khidmat pembelaan awam.

RUU itu juga bagi memperkenalkan dua nama jawatan baharu, iaitu Ketua Pembela Awam dan pegawai pembela awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan