Di sini lahirnya sebuah cinta, yang murni abadi sejati, di sini tersemai cita-cita, bercambah menjadi warisan..." antara bait lagu Warisan penuh puitis nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad yang mengisahkan Malaysia sebagai tanah tumpah darah sebuah bangsa, di mana warga berbilang kaum hidup secara harmoni merentasi budaya dan agama, bersatu membangunkan ibu pertiwi.
Dalam tidak sedar, sudah hampir tujuh dekad negara ini mencapai kemerdekaan. Satu tempoh yang lama bermula pada 31 Ogos 1957, detik yang menyaksikan lahirnya sebuah negara untuk dibangunkan oleh anak watan dengan dasar, perancangan dan pembangunan dilaksanakan sendiri tanpa campur tangan pihak asing.
Mengimbau kembali sejarah yang tercipta itu, Semenanjung Tanah Melayu secara rasmi menerima pewarkahan bebas dan diisytiharkan merdeka pada 9.30 pagi, 31 Ogos 1957, dan Stadium Merdeka menjadi saksi upacara bersejarah tersebut dengan ungkapan keramat “Merdeka” dilaungkan Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
pic-3
Dalam tempoh 68 tahun lepas, anak bangsa mengisi kemerdekaan yang diperoleh itu dengan membangunkan negara bangsa berasaskan etos, budaya, kepakaran dan nilai "keMalaysiaan" dalam semua aspek kehidupan bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.
PERJUANGAN 446 TAHUN
Menyingkap erti sebenar kemerdekaan, Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid menjelaskan secara harfiah, istilah itu bermaksud bebas daripada penjajahan secara fizikal oleh kuasa asing.
Dalam konteks Malaysia, beliau berkata negara pernah dijajah selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Namun katanya penjajahan paling signifikan dan memberikan kesan besar kepada Malaysia ialah penjajahan British.
"Penjajahan fizikal bermaksud kedaulatan negara dicabuli dan dikuasai. Penjajahan ini telah menyebabkan hampir semua sektor kehidupan kecuali agama dikuasai oleh kuasa asing.
"Selepas merdeka, Malaysia mengecapi kebebasan total dalam konteks kedaulatan bernegara. Dari situ bermulalah episod bina negara dengan pemikiran, sumber dan kekuatan anak watan di semua sektor - politik, ekonomi, sosial dan budaya," kataya kepada Bernama baru-baru ini.
pic-5
Mohd Azhar yang juga pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata selepas 68 tahun negara memperoleh kebebasan, rakyat Malaysia perlu menghargai nikmat merdeka dengan memainkan peranan masing-masing, sama ada secara langsung atau tidak dalam menyumbang kepada pembangunan, perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup demi bangsa dan agama.
"Hal ini dapat dilakukan mengikut skala dan kapasiti masing-masing sebagai pemimpin, pekerja, profesional, pelajar, suri rumah dan sebagainya. Sumbangan nyata dan tidak nyata boleh diberikan dalam membina hidup yang sejahtera dan mampan berasaskan Rukun Negara.
"Selain itu, perpaduan dan kesepaduan sosial ialah asas terbinanya sebuah negara yang aman, harmoni dan makmur. Maka, setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama perlu komited untuk saling berinteraksi dalam pelbagai kesempatan dan menipiskan pelbagai stereotaip serta prejudis sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata aspek itu kritikal kerana begitu banyak bukti di dunia menunjukkan konflik dan perseteruan dalaman merosakkan perpaduan selain memudahkan pengaruh luar bertapak.
Tegasnya, atas faktor itu, semangat kemerdekaan perlu ditanam dalam hati masyarakat memandangkan kemerdekaan bukan percuma, bahkan terlalu mahal harganya kerana diperoleh daripada darah, keringat dan air mata yang ditumpahkan oleh pejuang tanah air pada satu ketika dahulu.
"Jika ditelusuri sejarah penjajahan 446 tahun tersebut menerusi buku dan catatan sejarah, begitu ramai tokoh yang terlibat dan mereka berjuang dengan seluruh jiwa raga untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan (Portugis, Belanda, Jepun, Inggeris).
"Usaha tersebut dilakukan bukan dalam tempoh sehari dua, tetapi ratusan tahun. Bayangkanlah, ‘kos melepas’ yang ditanggung termasuk masa, harta benda, jiwa raga dan sebagainya. Adakah itu semua mampu dibayar oleh kita generasi hari ini? Untuk mencapai kebebasan, beratus tahun lamanya generasi dahulu berjuang bagi memerdekakan tanah air," katanya.
Justeru, beliau berkata perlunya generasi masa kini yang merupakan generasi pascamerdeka memainkan peranan sebagai warganegara bertanggungjawab untuk mengisi serta membina kemerdekaan negara dengan cara serta kaedah masing-masing.
PERKUKUH PERPADUAN
Oleh sebab itu jugalah kebebasan serta kemerdekaan yang dikecapi selama 68 tahun ini perlu dipelihara sebaiknya, dan dalam aspek ini, mengekalkan perpaduan merupakan tunjang kepada kestabilan dan keharmonian negara.
Menurut Mohd Azhar, terdapat banyak faktor sesebuah negara itu stabil dan maju, dan asas atau kunci kepada kesepakatan negara yang memiliki rakyat berbilang kaum ialah perpaduan nasional dan kesepaduan sosial.
"Nigeria, Amerika Syarikat, India, Indonesia, Papua New Guinea merupakan negara-negara yang bersifat ‘multiracial’. Perpaduan nasional dan kesepaduan sosial adalah prasyarat penting agar negara tersebut termasuk Malaysia, kekal stabil, aman dan maju.
"Perpaduan dan keharmonian ialah rukun yang tidak boleh dihindari. Perpaduan kaum merupakan tunjang utama pembangunan, kestabilan dan kemajuan Malaysia selama ini. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada perpecahan dan konflik. Perpaduan ialah imunisasi sosial yang boleh menghalang pergeseran dan konflik berpanjangan," katanya.
pic-6
Jelas pakar itu negara-negara seperti Malaysia, Afrika Selatan, Zimbabwe, Bosnia dan Herzegovina, Rwanda, Sudan serta Myanmar pernah mengalami pergeseran kaum, etnik dan agama yang menyebabkan keadaan negara berantakan dan tidak aman dengan sebahagiannya masih belum pulih sepenuhnya.
"Justeru, perpaduan memastikan rakyat hidup aman damai, membolehkan kerajaan menumpukan usaha pada pembangunan negara tanpa gangguan. Insiden seperti 13 Mei 1969 menunjukkan betapa pentingnya perpaduan untuk mengelakkan ketidakstabilan politik dan sosial.
"Di Malaysia, selain Dasar Ekonomi Baru, pelbagai dasar, strategi dan inisiatif berbentuk sosial, ekonomi dan politik diwujudkan bagi mengurangkan dan meminimumkan pergeseran kaum sejak lebih enam dekad lalu. Banyak kejayaan telah dikecapi menerusi pelbagai dasar dan pelan pembangunan tersebut," katanya.
Beliau berkata elemen-elemen perpaduan nasional dan kesepaduan sosial menjadi pelengkap dalam mana-mana dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan kerajaan meliputi ekonomi, politik dan sosial.
"Apa jua bentuk pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan mestilah mengambil kira penglibatan semua kaum di negara ini. Justeru nilai kesaksamaan mesti wujud dalam setiap dasar yang dilaksanakan. Apabila rakyat bersatu dan bekerjasama, membolehkan mereka terlibat di pelbagai sektor pekerjaan untuk memajukan ekonomi.
"Bahkan perpaduan menjadikan negara stabil, diyakini dan berupaya menarik pelaburan asing. Ini membolehkan tenaga kerja daripada pelbagai kaum menyumbang secara kolektif kepada pertumbuhan ekonomi," katanya.
Memberikan contoh negara tidak aman seperti Syria, Republik Kongo dan Afghanistan yang sering dibadai pertelingkahan etnik dan kaum, beliau berkata negara-negara terbabit sukar untuk meneruskan pembangunan ekonominya disebabkan kekurangan minat pelabur asing.
Mohd Azhar berkata ekonomi yang tidak dijana, diikuti peluang pekerjaan yang kurang boleh menyebabkan pelbagai isu seperti pengangguran, pergaduhan, konflik, pemberontakan dan sebagainya.
PERTAHAN KEDAULATAN
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Strategi & Hubungan Antarabangsa Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Aizat Khairi menyifatkan erti kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal.
Sebaliknya kata beliau, kemerdekaan sebenar turut menjurus kepada kebebasan menentukan hala tuju negara serta memelihara identiti nasional dan membina masa depan berasaskan nilai serta aspirasi rakyat.
pic-2
Jelasnya rakyat Malaysia perlu menghayati erti kemerdekaan dengan memupuk rasa syukur, menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan memastikan keamanan serta kemakmuran yang dinikmati sekarang terus dipertahankan.
"Justeru, perlunya semangat dan pengetahuan kemerdekaan ini terus dihayati oleh golongan belia dan generasi seterusnya kerana mereka ialah pewaris masa depan negara.
“Tanpa penghayatan sejarah kemerdekaan, golongan ini mungkin hilang arah dalam mempertahankan kedaulatan negara. Memahami perjuangan lampau akan menanam rasa bangga dan tanggungjawab untuk memelihara negara daripada ancaman perpecahan, penjajahan minda dan cabaran global yang kompleks," katanya.
Beliau berkata penting untuk generasi hari ini terus menghayati erti kemerdekaan kerana kemerdekaan bukan sekadar peristiwa sejarah tetapi suatu amanah kritikal berlandaskan hak kebebasan yang datang bersama-sama tanggungjawab sebagai warganegara.
" Apabila anak muda memahami prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara, mereka mampu menggunakan hak bersuara dan berpersatuan secara beradab serta mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Penghayatan yang mendalam juga menjadikan rakyat lebih tahan terhadap manipulasi, ekstremisme dan naratif yang memecahbelahkan. Memahami makna merdeka memastikan kebebasan yang diwarisi terus subur dan relevan dalam realiti baharu," katanya.
pic-4
Aizat berkata sekiranya rakyat lalai dalam memahami dan menghayati makna serta nikmat sebenar kemerdekaan yang telah dikecapi, risiko untuk berlakunya penghakisan kepercayaan terhadap institusi, penyebaran berita palsu dan polarisasi sosial akan meningkat, sekali gus menjejaskan perpaduan.
"Situasi ini akan menyebabkan masyarakat berada dalam keadaan yang tidak mampu mempunyai semangat cintakan negara dan tidak dapat meningkatkan perasaan taat setia kepada raja dan negara," katanya.
Pakar itu berkata dalam era globalisasi dan digital kini tidak bermakna anak muda akan terhalang daripada terus menyemai semangat cintakan negara serta tidak menghargai perjuangan nenek moyang yang telah bergolok gadai untuk memastikan negara memperoleh kemerdekaan.
"Di era globalisasi dan digital, generasi muda boleh memahami serta menghargai perjuangan kemerdekaan dengan menghubungkan kisah lampau kepada isu semasa melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan penceritaan digital.
“Mereka boleh merakam sejarah lisan keluarga, meneroka bahan arkib secara dalam talian dan menghasilkan dokumentari ringkas atau peta interaktif tentang tapak bersejarah setempat supaya warisan menjadi pengalaman yang dekat,” katanya.
Pada masa sama, Aizat berkata latihan secara literasi media ini dapat membantu mengajar generasi muda memeriksa sumber, menilai bukti dan berdialog dengan matang di platform sosial.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial