KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 6,978 aduan diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata sebanyak 3,862 aduan diterima pada 2018; 5,097 (2019); 5,180 (2020); 6,597 (2021); 10,739 (2022); 10,020 (2023) dan 12,958 (2024).
Dr Zaliha berkata kategori aduan yang mencatatkan bilangan tertinggi adalah penguatkuasaan, kemudahan atau infrastruktur, jangkaan pelanggan dan penyampaian perkhidmatan.
“Dengan menggunakan sistem SISPAA, maklum balas aduan dapat direkodkan dan dipantau oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) serta kementerian yang bertanggungjawab terhadap sesuatu aduan dengan lebih efektif dan telus.
“Keberkesanan sistem ini menunjukkan lebih banyak aduan dapat disalurkan kepada agensi-agensi bertanggungjawab dan turut menjadi antara penyebab trend bilangan aduan yang meningkat dari tahun ke tahun," katanya.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkenaan jumlah aduan diterima dalam SISPAA setiap tahun dari 2018 hingga 30 Jun 2025 pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Zaliha berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah tiga jabatan dan kementerian yang mencatat jumlah aduan tertinggi melalui SISPAA dari 2018 hingga 30 Jun lepas.
Beliau berkata ini memandangkan terdapat pelbagai agensi di bawah jabatan dan kementerian berkenaan serta menjadi tumpuan utama rakyat bagi penyampaian perkhidmatan awam seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk JPM, Jabatan Kerja Raya untuk KKR dan Jabatan Imigresen untuk KDN.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata SISPAA dilengkapi mekanisme penilaian berdasarkan tempoh masa penyelesaian aduan seperti ditetapkan dalam Pekeliling Am Bil 2/2022, iaitu 15 hari bagi aduan bukan kompleks dan sehingga 365 hari bagi aduan kompleks.
Beliau berkata sekiranya SISPAA mendapati aduan tidak diselesaikan, pihak SISPAA akan bertemu agensi dan kementerian terbabit untuk cuba membantu penyelesaian aduan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial