BELANJAWAN 2025 > BERITA

Satu Lagi Nakba Tidak Boleh Dibiarkan Berlaku, Tegas Pakistan Pada Mesyuarat OIC

26/08/2025 01:25 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 26 Ogos (Bernama) -- Pakistan pada Isnin menggesa tindakan segera diambil untuk menghalang Israel daripada melaksanakan ancamannya mengusir rakyat Palestin dan menduduki Gaza, sambil memberi amaran bahawa satu lagi perpindahan beramai-ramai rakyat Palestin dari tanah air mereka tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Satu lagi Nakba tidak boleh dan tidak harus dibiarkan berlaku,” kata Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar pada mesyuarat  peringkat menteri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi.

Beliau merujuk kepada peristiwa “Nakba” pada 1948 atau malapetaka, apabila ratusan ribu rakyat Palestin diusir dari tanah mereka oleh tentera penceroboh Israel.

Isu Palestin merupakan ujian penentu terhadap kredibiliti “orde antarabangsa berasaskan peraturan yang kononnya wujud”, kata menteri luar Pakistan itu.

“Gaza telah menjadi perkuburan bagi orang awam tidak bersalah serta undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dar berkata Israel menunjukkan "penghinaan mutlak" terhadap undang-undang antarabangsa dan terus melakukan jenayah kejam tanpa sebarang hukuman dengan menjadikan hospital, sekolah, kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konvoi bantuan dan pelarian sebagai sasaran serangannya secara sistematik.

Gaza sedang menghadapi malapetaka kemanusiaan berskala penuh selepas hampir dua tahun menjadi sasaran pengeboman secara sembarangan, sekatan menyeluruh, penafian bekalan asas serta kebuluran yang disengajakan, kata menteri itu pada mesyuarat OIC.

Dar berkata rejim pendudukan itu menunjukkan “mentaliti songsang” apabila Kabinet Israel baru-baru ini mendedahkan “rancangan berbahaya” untuk pendudukan Gaza, manakala pemimpin Israel Benjamin Netanyahu membayangkan mengenai “Israel Raya.”

Mesyuarat terbaharu pertubuhan yang dianggotai 57 negara itu membincangkan cara menangani ancaman rejim Yahudi terhadap rantau itu ketika Netanyahu meneruskan kempen genosidnya di wilayah yang diduduki serta mengancam memperluas pencerobohannya bagi merealisasikan mitos Zionis mengenai “Israel Raya.”

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan