GUA MUSANG, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 10,000 biji kuih onde-onde yang digunakan bagi menghasilkan sebuah replika Jalur Gemilang berukuran 41 meter, antara kelainan menarik ditonjolkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini.
Lebih istimewa, kuih tradisional itu disusun di dalam 68 talam, simbolik kepada 68 tahun sambutan Hari Kebangsaan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chalil Padzluddin Hamid berkata replika unik itu dihasilkan oleh 60 pramusaji terdiri daripada ibu bapa murid sekolah berkenaan bermula 12 tengah malam semalam sehingga 5 pagi tadi.
Beliau berkata onde-onde dipilih kerana ia pemanis mulut tradisional yang mudah dibentuk dan sesuai dijadikan bahan utama bagi merealisasikan Jalur Gemilang ini.
“Alhamdulillah, semangat kesepaduan antara penduduk amat jelas kerana proses penghasilan replika dilakukan secara bergotong-royong,” katanya pada program Cetusan Jiwa, Semarak Merdeka di SK Chalil di sini hari ini.
Sementara itu, seorang peserta Nur Sufiyyah Mohd Sukri, 29, berkata dia bersemangat menyahut cabaran itu meskipun tidak berpengalaman membuat kuih.
“Saya mendapat bantuan daripada ibu serta adik-beradik lain untuk menghasilkan 560 biji onde-onde berwarna merah. Kami berjaga sehingga awal pagi bagi memastikan bilangannya mencukupi. Cabaran paling besar adalah memastikan kuih dihasilkan sama saiz kerana adakalanya ia pecah atau tidak menjadi,” katanya.
Seorang lagi peserta, Zazila Mat Yaacob, 45, berkata penghasilan Jalur Gemilang secara berkumpulan itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan, malah memupuk semangat patriotisme merentasi generasi.
“Selain pembuatan kuih, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan hari ini seperti pertandingan hiasan basikal, busana kreatif serta pembuatan kuih tradisional melibatkan peserta daripada kanak-kanak hingga dewasa.
“Setiap tahun suasana sebegini sangat meriah dan kami tidak berkira untuk berbelanja demi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan di tanah rancangan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial