BELANJAWAN 2025 > BERITA

PDRM Buru Hatrik Piala Agong

26/08/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Juara bertahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu kejuaraan kali ketiga berturut-turut Piala Agong apabila saingan edisi 2025 bermula pada 6 Sept hingga 25 Okt depan.

Pengurus pasukan SAC Nasri Mansor berkata keyakinan tinggi disuntik berdasarkan persiapan rapi serta kestabilan barisan kejurulatihan dan pengurusan.

“PDRM muncul juara pada 2023 dan 2024, jadi sudah tentu kami berhasrat mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga. Insya-Allah dengan sokongan pucuk pimpinan, rakan sukan serta pengurusan, sasaran ini mampu dicapai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea Pasukan Ragbi PDRM di PULAPOL di sini hari ini.

Menurutnya kira-kira 80 pemain kini menjalani latihan, termasuk beberapa muka import, namun skuad itu akan dikecilkan kepada 40 mengikut syarat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Beberapa aksi persahabatan turut dirancang sebagai persediaan.

Selain itu, pasukan bimbingan bekas pemain profesional negara, K Dinesvaran atau lebih dikenali sebagai Dugro, juga bakal beraksi di Piala Rujirawongse di Chiang Mai, Thailand awal bulan depan.

Bagaimanapun, Nasri berkata tiada pemain import dibawa ke kejohanan berkenaan.

Bagi edisi kali ini, PDRM diundi dalam Kumpulan A bersama Kedah, Perlis, Selangor dan Kelantan, manakala Kumpulan B terdiri daripada Johor, Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Terengganu dan Pahang.

Tahun lepas, PDRM menjulang trofi selepas menewaskan Johor 43-29 di final, sekali gus meraih gelaran kelima selepas kejayaan pada 1983, 1985, 1991 dan 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan