PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan Ketua Jemaah Nazir untuk menggerakkan nazir seluruh Malaysia menjalankan audit keselamatan.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata dapatan audit keselamatan itu hendaklah dilaporkan kepada beliau setiap minggu.
"Hasil dapatan yang diterima itu saya akan kemuka kepada menteri dan perincikan tindakan yang perlu diambil.
"Itu antara inisiatif untuk kita melihat secara keseluruhan, dan dengan usaha ini nanti insya-Allah, kita dapat memperkukuh aspek keselamatan sekolah dan asrama, khususnya keselamatan anak-anak kita serta seluruh warga sekolah," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif menerusi Audit Keselamatan Sekolah itu dilaksanakan susulan kes kemalangan di sekolah yang melibatkan beberapa pelajar baru-baru ini.
Terdahulu, media hari ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor.
Ditanya sama ada KPM akan mengambil tindakan menambah baik aspek keselamatan di sekolah dan asrama berikutan banyak kes pelajar dilaporkan terjatuh dari aras tinggi, Mohd Azam berkata pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan dianggotai ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, pakar pelbagai bidang, polis serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).
"Saya telah mengarahkan jawatankuasa untuk semak semua prosedur, SOP (prosedur operasi standard) berkaitan dengan pengendalian gejala buli, gangguan seksual dan keselamatan sekolah.
"Jawatankuasa ini diketuai Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan telah mula mengambil tindakan menyemak semua prosedur, di asrama, di sekolah, untuk memastikan prosedur yang boleh ditambah baik. Yang perlu digugur, mungkin kita laksanakan penggantian," katanya.
Mohd Azam berkata beliau juga telah mengarahkan semua pegawai termasuk pengarah dan pengurusan tinggi dalam KPM, Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah membuat lawatan mengejut di sekolah dan asrama tanpa mengira masa.
Beliau berkata ia bertujuan memantau keadaan di sekolah di bawah KPM dan maklumat dikumpul akan digunakan bersama-sama satu jawatankuasa khas bagi meneliti semula prosedur keselamatan sedia ada di sekolah yang sudah ditubuhkan sebelum ini untuk memperkukuh sebaran garis panduan atau prosedur sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial