JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mencadangkan diwujudkan perkhidmatan kapal roll-on roll-off (RoRo) yang menghubungkan Johor dengan Batam, Indonesia, bagi memperkukuh jaringan perdagangan, pelancongan dan hubungan rakyat antara kedua-dua wilayah.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S. Widiyanto berkata laluan itu berpotensi dibangunkan dari Tanjung Belungkor, Johor ke Pelabuhan Bintang 99, Batam, yang akan memudahkan pergerakan kenderaan dan logistik rentas sempadan.
“Jika perkhidmatan RoRo ini dapat direalisasikan, Johor–Singapura–Kepulauan Riau akan menjadi lebih terhubung. Ia akan mendorong pertumbuhan ekonomi serantau dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat di kedua-dua belah pihak,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata selain Johor, cadangan perkhidmatan RoRo turut dibincangkan dari Melaka ke Dumai di Riau, yang akan membuka satu lagi pilihan laluan maritim antara Malaysia dan Indonesia.
Inisiatif RoRo itu, beliau berkata bakal melengkapi pelaksanaan Program Jiran Istimewa (JIWA) yang memberi pelbagai keistimewaan kepada penduduk Johor dan Kepulauan Riau, serta Melaka dan Riau ketika berkunjung ke kedua-dua wilayah.
Sigit berkata sebanyak 134 penggiat industri pelancongan daripada keempat-empat wilayah itu telah menyertai JIWA setakat ini, satu inisiatif Perkhidmatan Khas Sempadan dalam usaha memperkukuh promosi pelancongan rentas sempadan di wilayah perbatasan selatan Semenanjung.
Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa terdapat lebih 130,000 warga negara Indonesia (WNI) yang menetap di bawah bidang kuasa KJRI Johor Bahru, termasuk kira-kira 100,000 di Johor manakala selebihnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
“Kami baru sahaja membangunkan data asas WNI pada tahun ini merangkumi pekerja ladang, kilang, anak-anak usia sekolah hingga tahanan di penjara,” katanya.
Beliau berkata momentum hubungan Indonesia dan Malaysia, khususnya Johor dengan Kepulauan Riau, kini berada pada tahap yang sangat baik dan perlu diterjemahkan melalui kerjasama konkrit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial