BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemimpin, Ahli UMNO Perlu Guna Saluran Betul - Azalina

27/08/2025 01:56 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Pemimpin dan ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan sebarang isu atau tindakan perlu menggunakan saluran parti termasuk mengemukakan laporan kepada Lembaga Disiplin, kata Ketua Penerangannya Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), berkata sejak ditubuhkan pada 1946, UMNO mempunyai sistem serta prosedur tersusun dalam menangani isu melibatkan disiplin anggotanya.

"Saya lihat kalau ada sesiapa yang tidak berpuas hati, mereka boleh lapor kepada Lembaga Disiplin parti. UMNO adalah parti ada tradisi, apa-apa isu biasanya dibawa kepada perbincangan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perbalahan antara Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan Datuk Lokman Noor Adam.

Muhamad Akmal dilaporkan telah mencabar Lokman Noor supaya berdepan dengannya sama ada di mahkamah atau di gelanggang ekoran tuduhan kononnya beliau mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai surat daripada Pemuda UMNO Kapar kepada Lembaga Disiplin yang mendesak agar tindakan diambil terhadap Lokman Noor atas dakwaan melanggar disiplin dan etika parti, Azalina berkata perkara itu boleh disalurkan kepada parti untuk dibincangkan.

"UMNO mengamalkan demokrasi... nak kritik pun demokrasi, tak setuju pun demokrasi, sokong pun demokrasi... UMNO ini parti lama, pelbagai karakter ada dalam kalangan ahli dan kepimpinan... kalau isu serius, ia boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan