ALOR GAJAH, 27 Ogos (Bernama) -- Melaka merancang membangunkan perkampungan persaraan sebagai persediaan menghadapi status negeri tua menjelang 2040, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.
Beliau berkata, inisiatif itu bakal menjadi platform terbaik untuk mengumpulkan warga emas, khususnya dalam kalangan profesional, agar mereka terus berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Sebenarnya ramai warga emas yang hanya tinggal di rumah selepas bersara, namun melalui perkampungan persaraan ini lebih banyak program dapat dilaksanakan untuk golongan tersebut.
“Ia juga dapat memastikan warga emas tidak tersisih daripada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kependudukan Peringkat Melaka 2025 di Dewan Kuliah Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, hari ini.
Turut hadir, Pengarah LPPKN Melaka Suszma Khairitszi Mamat dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Abdul Shukur Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata Melaka dijangka berstatus negeri tua menjelang 2040, apabila unjuran menunjukkan kira-kira 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
Beliau dipetik berkata, pada 2024, sebanyak 11 peratus atau 111,000 penduduk negeri itu berumur 60 tahun ke atas, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh kurang dua dekad.
Fenomena negeri tua dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi, tenaga kerja, perancangan sosial serta sistem kesihatan, termasuk berdepan penyusutan tenaga kerja muda, peningkatan permintaan terhadap penjagaan warga emas dan keperluan dasar sosial yang lebih inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial