BELANJAWAN 2025 > BERITA

LPPSA Tawar SPPM Bantu Penjawat Awam Muda Miliki Kediaman Pertama

27/08/2025 03:49 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menawarkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda (SPPM) bagi membantu penjawat awam muda memiliki kediaman pertama mereka dengan lebih berdaya mampu.

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA Mohd Farid Nawawi berkata SPPM yang mula dilaksanakan pada 1 April lepas ditawarkan kepada penjawat awam berumur 30 tahun dan ke Bawah dengan kelayakan pembiayaan sehingga RM750,000 dan tempoh pembayaran balik sehingga 40 tahun atau sehingga umur 90 tahun. 

"SPPM telah diumumkan dalam Belanjawan 2025, namun ramai penjawat awam muda masih belum sedar bahawa mereka berpeluang mendapat pembiayaan lebih panjang dan fleksibel untuk memiliki rumah pertama. LPPSA mahu pastikan maklumat ini sampai kepada semua yang layak, terutama generasi muda sektor awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hebahan mengenai skim itu akan terus diperhebat melalui platform digital, media sosial, sesi townhall, kolaborasi dengan agensi kerajaan serta media arus perdana agar maklumat SPPM dapat sampai kepada seramai mungkin penjawat awam muda di seluruh negara.

Dengan inisiatif SPPM, LPPSA yakin dapat memperkukuh agenda pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam muda, sekali gus menyokong usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Permohonan SPPM dibuka melalui portal rasmi LPPSA https://www.lppsa.gov.my/v3/my/ serta saluran digital yang sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan