BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sokongan Kepada Ibu Hamil Penting Untuk Generasi Masa Depan

27/08/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Penurunan kadar kelahiran Malaysia ke paras terendah dalam sejarah pada tahun ini menimbulkan kebimbangan mengenai kesinambungan generasi serta pembangunan masa depan negara.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata anak-anak bukan sahaja anugerah besar buat keluarga, malah merupakan generasi yang akan mencorak masa depan negara.

“Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar kelahiran negara menurun ke paras terendah dalam sejarah pada 2025, berbanding lebih 100,000 kelahiran setiap tahun sebelum ini.

“Jika trend penurunan ini berterusan, ia boleh menjejaskan prospek pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Program Penyerahan Set Bersalin Ibu dan Anak di Laman Tun Razak, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan kepentingan menjaga kesejahteraan golongan ibu mengandung bagi memastikan generasi akan datang dibesarkan dalam persekitaran yang menyokong perkembangan fizikal, emosi, dan rohani mereka.

Dr Wan Azizah berkata selain cabaran semasa, keluarga kini turut berdepan pengaruh teknologi seperti realiti maya, deepfake, dan kecerdasan buatan (AI) yang walaupun memberi manfaat, tetap menimbulkan risiko terhadap perkembangan anak-anak jika tidak dikawal dengan baik.

“Anak-anak bukan sahaja perlu dijaga dari segi fizikal, tetapi juga aspek emosi dan rohani bagi memastikan mereka membesar menjadi insan lebih baik daripada generasi sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata pemberian kit bersalin adalah satu daripada inisiatif penting selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh kesejahteraan sosial dan pembangunan keluarga.

Sebanyak 36 pek set bersalin disalurkan kepada penerima menerusi sumbangan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Bhd Tan Sri Vincent Tan.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Esther Tan, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin,  Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Che Samsuzuki Che Noh, Pengurus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cawangan Cheras, Asyiqoh Yusof dan Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Cheras, Atiqah Abdul Wahab. 

Dr Wan Azizah turut berharap inisiatif ini menjadi inspirasi kepada pelbagai pihak untuk tampil membantu, sekali gus memperkukuh kesejahteraan institusi kekeluargaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan