BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Brunei Desak Dunia Hentikan Kekebalan Israel Di Palestin

27/08/2025 05:35 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Brunei mendesak masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kekebalan Israel daripada hukuman atas jenayah kemanusiaan yang dilakukan di Palestin.

 Kedua-dua negara menuntut akses kemanusiaan segera, gencatan senjata berkekalan serta usaha baharu untuk menangani punca utama pendudukan dan pencerobohan berdekad lamanya oleh kuasa pendudukan.

Menyatakan sokongan teguh serta solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menegaskan penyelesaian adil perlu dicapai secara aman selaras undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam kenyataan bersama selepas Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 di sini pada Rabu, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap Palestin sebagai langkah ke arah negara merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Mereka menggesa semua negara yang masih belum berbuat demikian untuk melaksanakan pengiktirafan tersebut.

“Kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa isu Palestin kekal sebagai teras konflik di Timur Tengah dan melahirkan kebimbangan serius terhadap bencana kemanusiaan yang semakin buruk di Semenanjung Gaza akibat tindakan genosid dan pembersihan etnik berterusan oleh Israel, kuasa pendudukan.

“Mereka mengecam sekeras-kerasnya keganasan tanpa diskriminasi serta sekatan penuh terhadap akses kemanusiaan dan penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin yang telah mengakibatkan korban besar-besaran, perpindahan paksa meluas, kebuluran sistematik dan kekurangan kritikal bekalan penting,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin turut mengecam cubaan haram kuasa pendudukan untuk menguasai sepenuhnya Gaza dan melaksanakan agenda “Greater Israel”, menyifatkannya sebagai pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa serta penghinaan terhadap kemanusiaan dan sistem berasaskan peraturan.

Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut membincangkan perkembangan terkini di Myanmar dan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap keganasan berterusan serta krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Mereka menegaskan semula pendirian bersatu ASEAN bahawa Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal sebagai kerangka utama dalam menangani situasi politik di negara itu serta menggesa semua pihak memastikan pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan.

“Kedua-dua pemimpin menyokong gencatan senjata segera, menyeluruh dan berkekalan sebagai langkah penting untuk mewujudkan suasana kondusif bagi penghantaran bantuan kemanusiaan dan dialog nasional yang inklusif,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama rapat dalam ASEAN serta dengan rakan luar bagi menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PC.

Brunei memuji usaha konsisten Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam mewujudkan penyelesaian damai, berkekalan dan dipimpin Myanmar sendiri, termasuk cadangan lawatan ke negara itu oleh menteri-menteri luar Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand pada 19 Sept ini.

Mengenai keselamatan serantau, Malaysia dan Brunei mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata terbaru antara Kemboja dan Thailand susulan ketegangan di sempadan sebagai cerminan prinsip ASEAN berasaskan saling menghormati, tidak campur tangan dan penyelesaian pertikaian secara aman.

“Dalam semangat solidariti ASEAN dan kejiranan baik, kedua-dua pemimpin menyeru semua pihak terus mengekalkan gencatan senjata, terlibat dalam dialog konstruktif dan berusaha ke arah penyelesaian aman serta berkekalan,” menurut kenyataan itu.

Mengenai keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, Brunei menyokong peranan Malaysia sebagai Penyelaras Dialog ASEAN-China dalam mendorong kesimpulan awal Kod Tata Laku yang substantif bagi memastikan kebebasan pelayaran dan penerbangan selaras undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Malaysia dan Brunei kekal komited terhadap prinsip kesepakatan dan perpaduan ASEAN dalam mempromosi keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau di tengah ketidaktentuan global.

Kedua-dua pemimpin berikrar melaksanakan sepenuhnya Visi ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 Mei lalu.

Sultan Hassanal Bolkiah turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Malaysia pada 31 Ogos ini.

Kedua-dua pemimpin melahirkan kepuasan terhadap hasil perbincangan mereka dan menegaskan komitmen memperkukuh hubungan dua hala melalui pelaksanaan Pertukaran Surat yang berterusan.

Brunei akan menjadi tuan rumah ALC ke-27 pada 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan