BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hanya 1.6 Juta Rakyat Malaysia Manfaatkan PeKa B40

28/08/2025 08:59 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Hanya 1.6 juta rakyat Malaysia daripada kumpulan B40 telah memanfaatkan saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) setakat 31 Mei lepas.

Skim yang diperkenalkan sejak 2019 itu menawarkan pemeriksaan kesihatan menyeluruh kepada 6.9 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dengan komitmen berterusan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pencegahan awal dalam kalangan masyarakat.

Ketua Jabatan Jaminan Kualiti ProtectHealth Corporation Dr Muhammed Anis Abd Wahab berkata PeKa B40 menawarkan saringan asas percuma termasuk pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing serta dua sesi konsultasi dengan doktor.

Beliau berkata kadar penggunaan yang rendah itu menunjukkan budaya pencegahan masih belum diamalkan majoriti rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan kelompok berpendapatan rendah.

“Antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan keadaan ini seperti kekangan masa, keutamaan terhadap pekerjaan harian, kebimbangan terhadap kos rawatan serta persepsi ‘lebih baik tidak tahu daripada tahu diri sedang sakit.’

“Semasa sesi libat urus dan program ‘outreach’, ramai penerima mengakui mereka sedar kepentingan pemeriksaan kesihatan, tetapi lebih memilih untuk tidak tahu status kesihatan sendiri kerana bimbang menghidapi penyakit serius dan terpaksa menanggung kos rawatan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru

Beliau berkata kebanyakan pesakit yang akhirnya mendapatkan rawatan di hospital sudah berada pada tahap kritikal, sedangkan keadaan itu boleh dielakkan melalui pencegahan awal termasuk pemeriksaan kesihatan berkala.

Dr Muhammed Anis berkata penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi merupakan antara penyumbang utama kematian dan ketidakupayaan di Malaysia, namun kebanyakan pesakit hanya menyedari penyakit mereka apabila sudah berada pada peringkat serius.

Beliau berkata berdasarkan kajian bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2017, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi mengakibatkan kerugian kepada ekonomi negara antara RM100 hingga RM300 bilion setahun.

“Hakikatnya di sinilah kita lihat beban terhadap ekonomi, kita kehilangan produktiviti akibat penyakit NCD, individu terbabit tidak dapat hadir bekerja, atau hadir tetapi tidak produktif disebabkan keadaan kesihatan yang lemah, situasi yang dikenali sebagai 'absenteeism' dan 'presenteeism'.

“Situasi ini dianggarkan menyumbang kepada kerugian sebanyak RM12.8 bilion kepada ekonomi negara, sedangkan jumlah itu sepatutnya boleh menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata ProtectHealth melaksanakan pelbagai pendekatan di peringkat komuniti termasuk bekerjasama dengan NGO, klinik swasta dan pemimpin tempatan bagi meluaskan capaian kesihatan kepada rakyat, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti berat berlebihan dan kurang aktif.

Beliau berkata PeKa B40 bukan sekadar program kerajaan tetapi satu usaha nasional untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada krisis kesihatan senyap yang kian membarah.

Dr Muhammed Anis berkata bagi individu yang layak menjalani saringan di bawah inisiatif PeKa B40, kelayakan tersebut turut membolehkan mereka menerima manfaat lain seperti Insentif Bantuan Alat Perubatan, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser dan Insentif Tambang Pengangkutan.

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang ditubuhkan pada 19 Dis 2016. 

Syarikat ini bertanggungjawab menyelaras, mentadbir dan mengurus pelbagai inisiatif pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diamanahkan oleh KKM, termasuk PeKa B40, Skim Perubatan MADANI dan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan