BELANJAWAN 2025 > BERITA

Benih Patriotisme Disemai Di Tadika

28/08/2025 11:17 AM

Oleh Adnan Mohamad

TANAH MERAH, 28 Ogos  (Bernama) -- Suasana di Tadika Kemas Nur Iman, Kampung Bukit Kechik di sini ketika dikunjungi kelihatan lebih ceria berbanding hari-hari biasa dengan kumpulan kanak-kanak sambil dipantau guru masing-masing tekun memasang Jalur Gemilang bersaiz kecil di pagar sekolah.

Biarpun belum memahami sepenuhnya makna kemerdekaan, wajah polos kanak-kanak ini jelas terpancar rasa bangga setiap kali Jalur Gemilang dipasang itu berkibar ditiup angin, yang secara langsung menunjukkan pentingnya semangat patriotisme dipupuk sejak usia kecil lagi.

Bagi guru tadika sekolah tersebut, Nur Elyana Aqilah Hanizi, pemasangan Jalur Gemilang bukan sekadar menceriakan suasana sekolah malah menjadi medium awal untuk menyemai rasa cinta kepada tanah air dalam jiwa kanak-kanak itu.

Beliau berkata pendedahan sejak peringkat prasekolah penting kerana ia akan membentuk asas jati diri serta kefahaman terhadap simbol kebangsaan.

“Kita mahu semangat patriotisme ditanamkan sejak kecil dengan memelihara Jalur Gemilang dan menghormati lambang kedaulatan negara. Anak-anak juga diajar memahami maksud warna dan simbol pada Jalur Gemilang supaya mereka lebih dekat dan faham erti kemerdekaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nur Elyana berkata program khas sempena Bulan Kebangsaan di tadika itu turut diselitkan dengan sesi bercerita dan nyanyian lagu patriotik agar murid dapat merasai sendiri suasana sambutan dengan cara yang menyeronokkan.

“Walaupun mereka masih kecil, semangat ini boleh dipupuk secara perlahan-lahan melalui pendekatan kreatif seperti menghias kelas dengan bendera, membuat kraf tangan bertemakan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu bersifat patriotik,” katanya.

Seorang lagi guru, Nor Maizatul Akma Abdul Halim berkata bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan kesemua murid tadika akan menyertai perarakan di sekeliling kampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada 31 Ogos ini.

“Setiap tahun murid ini akan memakai busana dengan bertema bendera dan pakaian yang paling menarik akan diberi hadiah sebagai galakan.

“Pihak tadika juga menjemput ibu bapa murid yang berkelapangan untuk menyertai perarakan bagi memeriahkan suasana sambil berpakaian bertemakan Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata sejak seminggu lepas, kanak-kanak juga diajar untuk menyanyikan lagu kebangsaan serta beberapa lagi lagu bertemakan patriotik agar semangat cintakan negara disemat di hati mereka hingga dewasa.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bukit Kechik Mohd Nor Hassan berkata setiap kali Bulan Kebangsaan, menjadi tradisi untuk tadika di kampung itu mengadakan program memasang bendera selain perbarisan mini di sekitar kampung pada 31 Ogos.

“Kita mahu anak-anak ini faham tentang pentingnya semangat cintakan negara supaya mereka tahu kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah hasil perjuangan wira negara yang berkorban jiwa dan raga untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah,” katanya.

Selain dalam kalangan kanak-kanak, penduduk kampung berkenaan juga tidak ketinggalan menghiasi kediaman masing-masing dengan Jalur Gemilang selain merancang pelbagai aktiviti termasuk pertandingan perbarisan pada 31 Ogos nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan