BELANJAWAN 2025 > BERITA

Utama KKP Elak Bencana Kerja, PERKESO Sedia Perlindungan Komprehensif

28/08/2025 01:04 PM
From: Erda Khursyiah Basir

Saban hari Mohd Zahruddin Ruskam melakukan kerja-kerja mengangkat beban berat secara manual dengan pergerakan membongkok, duduk, berdiri dan berjalan secara berulang-ulang dalam tempoh yang lama.  

Bertugas sebagai Able Bodied Seaman (AB) (kru kapal yang mahir dalam operasi dan penyelenggaraan dek kapal) di sebuah syarikat perkapalan sejak awal 1986, dia pasrah apabila disahkan mengalami cakera teranjak (slipped disc) di lumbar (L) tiga dan empat pada 1988 serta terpaksa menjalani pembedahan pada tahun berikutnya.

Sudah namanya mencari rezeki, kerja tetap diteruskan biarpun sesekali masih melibatkan pengendalian secara manual dan postur janggal apabila dia bertukar kerjaya sebagai pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dengan jawatan sebagai pegawai keselamatan dalam industri limbungan kapal dan kejuruteraan minyak dan gas sekitar 1990. 

“Akibat kerja-kerja yang saya lakukan, pada 1998 saya sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan untuk slipped disc (L3L4) dan buat kali ketiga pada 2011 disebabkan masalah  sama menjadi semakin serius. 

“Sejak itulah keadaan fizikal dan kekuatan saya untuk berdiri, berjalan, berlari dan bersukan mula menurun. Beberapa tahun kemudian saya didiagnosis mengalami slipped disc di servikal (C) tiga dan empat (bahagian tengkuk) pula, mengakibatkan kebas di kedua-dua belah tangan dan sakit tengkuk, seterusnya menjalani satu lagi pembedahan.

“Pada 2024 saya menjalani rawatan ablasi frekuensi radio (RFA) untuk slipped disc lumbar, dan pada Mei lepas, disebabkan keadaan semakin teruk, saya sekali lagi menjalani pembedahan untuk merawat slipped disc servikal,”  katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

 

BEBAN EMOSI, KEWANGAN

Kini, Mohd Zahruddin, 62, yang bekerja dan menetap di Johor, bertugas sebagai Pengarah Kumpulan Keselamatan dalam industri pembinaan bangunan dan pemaju hartanah sejak 2012. 

pic-2

Berkongsi lanjut kisahnya, bapa kepada dua orang cahaya mata itu berkata akibat bencana kerja atau penyakit khidmat yang dialaminya tersebut, banyak aktiviti kerja dan urusan peribadi tidak dapat dilakukannya. 

“Pada awalnya emosi saya terganggu kerana saya seorang yang aktif bersukan dan melakukan aktiviti lasak. Semua aktiviti jadi terbatas. Paling terasa bila dah berumah tangga aktiviti bersama-sama keluarga seperti bercuti juga terpaksa dihadkan. 

“Kewangan juga agak terjejas kerana biaya rawatan yang perlu dijalani. Walaupun rawatan di hospital pakar ditanggung insurans, untuk rawatan susulan terpaksa tanggung sendiri,” katanya, menambah dia kembali bertugas pada 10 Ogos lalu selepas menjalani pembedahan pada Mei.

Menurut Mohd Zahruddin, tahun lepas dia memohon bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan setelah permohonannya diproses serta dipanggil oleh panel doktor organisasi itu, dia  disahkan sebagai hilang upaya kekal  tujuh peratus .

“Alhamdulillah, permohonan mudah... dengan syarat semua dokumen sokongan mestilah lengkap seperti dinyatakan dalam borang permohonan. Tempoh dari proses permohonan sehingga dapat kelulusan mengambil masa dua bulan.

“Disebabkan usia saya sewaktu permohonan lebih 60 tahun, saya tidak layak untuk skim pencen ilat. Sebaliknya saya menerima faedah di bawah skim bencana kerja untuk rawatan pemulihan dan bantuan kewangan secara sekali gus. Sekarang saya meneruskan rawatan terapi cara kerja, fisioterapi dan hidroterapi untuk pemulihan sebanyak tiga kali seminggu di IHT Rehab Nusajaya. 

“Bantuan ini amat membantu saya dalam proses pemulihan dan boleh melakukan aktiviti kerja dan harian saya,” katanya, menambah majikannya juga amat memberi sokongan untuk dia meneruskan rawatan yang dicadangkan oleh doktor pakar. 

Tambahnya, ketika kali pertama dia mengalami masalah kesihatan akibat pekerjaan itu, kesedaran tentang KKP termasuk prosedur operasi standard (SOP) kerja, aspek ergonomik, latihan dan sebagainya masih rendah.

 

UTAMAKAN KKP PELABURAN JANGKA PANJANG

Sementara itu, berkongsi mengenai bencana dan kemalangan yang berlaku di tempat kerja, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Datuk Wira Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata kebanyakannya berpunca daripada kegagalan majikan dalam menilai kepentingan KKP termasuk tidak melaksanakan penilaian risiko secara menyeluruh, mengurangkan kos keselamatan dan mengabaikan aduan pekerja.

pic-3

Faktor lain katanya ialah manusia (pekerja kurang terlatih atau tidak mematuhi SOP), bahaya fizikal (kenderaan bergerak tanpa kawalan selamat atau objek jatuh dari ketinggian), terdedah bahan berbahaya (bahan kimia toksik, wap berbahaya dan habuk industri tanpa kawalan ventilasi yang baik), kegagalan sistem pengurusan (pelaksanaan Hazard Identification, Risk Assessment, and Risk Control (HIRARC) yang lemah, prosedur kecemasan tidak lengkap, kurang pengawasan) dan faktor organisasi (tekanan untuk siapkan projek segera dan penguatkuasaan peraturan keselamatan longgar).

“Masih ramai majikan yang mengabaikan aspek keselamatan di tempat kerja kerana menganggap keselamatan sebagai kos dan bukan pelaburan, kurang pengetahuan kewajipan undang-undang, sikap ‘tiada apa berlaku sebelum ini’, tiada pegawai cekap, tekanan masa untuk menyiapkan projek dan pemantauan penguatkuasaan yang terhad.

“Tahap kesedaran KKP berbeza mengikut sektor, namun berdasarkan pengalaman industri, kesedaran praktikal penuh masih sekitar 50 hingga 60 peratus daripada jumlah majikan di Malaysia.

“Langkah pencegahan berkesan bermula dengan kesedaran majikan bahawa KKP teras penting dalam sesebuah organisasi. KKP perlu dilihat sebagai pelaburan strategik dan bukan pembaziran kerana ia membantu memastikan operasi berjalan dengan lancar, mengurangkan gangguan akibat kemalangan dan meningkatkan reputasi syarikat,” katanya.

Menurut Ahmad Fakhrul Anuar, dua langkah utama yang terbukti berkesan dalam pencegahan kemalangan pekerjaan ialah memasukkan KKP di peringkat awal perancangan operasi dengan majikan mengenal pasti dan berusaha menghapuskan semua risiko bahaya yang mungkin wujud.

“Seterusnya, menyediakan peruntukan kewangan mencukupi untuk pelaksanaan KKP yang merangkumi latihan pekerja, pembelian peralatan perlindungan diri berkualiti, pemasangan sistem keselamatan dan audit berkala, “ katanya, menambah menerusi dua langkah itu majikan bukan sahaja memenuhi kehendak undang-undang malah membina budaya kerja yang selamat dan mampan.

 

AKKP 1994 (PINDAAN) 2022 

Menyarankan pekerja menjaga keselamatan diri sendiri dengan mematuhi semua prosedur kerja selamat, mematuhi arahan majikan dalam semua perkara berkaitan KKP, sentiasa peka akan bahaya yang wujud di sekeliling dan segera melaporkan sebarang risiko, beliau pada masa sama berkata majikan pula memegang peranan utama untuk merancang semua aspek operasi agar berada dalam keadaan selamat.

Katanya majikan perlu memastikan semua pekerja menerima latihan KKP yang mencukupi dan sesuai dengan risiko kerja mereka, memasukkan KKP sebagai faktor penting dalam setiap peringkat perancangan operasi termasuk reka bentuk tempat kerja, proses kerja dan pembelian peralatan.

pic-4

“Melalui pendekatan ini, kedua-dua pihak dapat bekerjasama dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan mengurangkan risiko kemalangan, sekali gus mengelakkan sebarang bencana,” katanya.

Berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi untuk melindungi keselamatan pekerja di tempat kerja, Ahmad Fakhrul Anuar berkata ini terutamanya melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Pindaan) 2022 yang menetapkan denda maksimum hingga RM500,000 berbanding  RM50,000  sebelum ini, bagi pihak yang melanggar akta berkenaan berkuat kuasa 1 Jun 2024.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim sebelum ini berkata pindaan itu selari dengan komitmen kerajaan MADANI bagi memastikan semua pekerja di negara ini dapat bekerja dalam persekitaran kerja yang selamat, sihat, kondusif dan produktif.

Langkah itu juga memastikan isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja diberi perhatian di samping menjadikan tempat kerja bebas daripada kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Ahmad Fakhrul Anuar bagaimanapun berkata pelaksanaan undang-undang ini berkonsepkan kawalan kendiri yang memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk majikan, pekerja dan badan penguat kuasa untuk memastikan budaya kerja selamat dapat dipraktikkan secara berkesan.

“Kerajaan perlu lebih serius memastikan majikan yang merupakan tunjang utama industri, benar-benar faham konsep dan keperluan KKP melalui program latihan wajib dan audit berkala termasuk penguatkuasaan lebih tegas dengan hukuman penjara kepada majikan yang gagal memastikan tempat kerja selamat sehingga menyebabkan kematian pekerja.

“Peningkatan kadar penalti bagi kes berulang – majikan yang melakukan kesalahan sama berulang kali perlu dikenakan denda berganda atau larangan operasi sementara,” katanya, menambah integrasi KKP dalam kurikulum pendidikan teknikal dan vokasional penting dalam memastikan bakal pekerja yang memasuki industri mempunyai kesedaran dan kemahiran asas keselamatan.

 

SKIM BENCANA KERJA PERKESO

Sementara itu, berdasarkan statistik PERKESO dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 21,042 kes kemalangan industri dan 21,487 kes kemalangan perjalanan melibatkan pekerja telah direkodkan di seluruh negara.

Antara sektor yang mencatat jumlah kemalangan pekerjaan tertinggi ialah pembinaan, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.

pic-5

Menurut pertubuhan itu, PERKESO menyediakan perlindungan komprehensif di bawah Skim Bencana Kerja yang merangkumi pelbagai jenis faedah kepada pencarum terkesan. Antaranya Faedah Perubatan untuk menampung kos rawatan perubatan akibat bencana kerja atau penyakit khidmat.

“Bagi 2025,  setakat Jun lepas, seramai 10,142 pencarum telah menerima Faedah Perubatan dengan jumlah bayaran kumulatif sebanyak RM3.51 juta.

“Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) pula diberikan kepada pencarum sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh doktor, dengan syarat tempohnya tidak kurang daripada empat hari termasuk hari berlakunya kemalangan. Bagi tempoh sama, sebanyak 44,863 individu menerima FHUS dengan jumlah bayaran RM172.32 juta.

“Bagi pencarum yang mengalami hilang upaya kekal akibat bencana kerja pula, PERKESO menyediakan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dengan seramai 36,027 pencarum telah menerima bayaran ini berjumlah RM252.54 juta,” kata pertubuhan itu.

Perlindungan yang diberikan tidak terbatas kepada aspek kewangan semata-mata, sebaliknya PERKESO komited membantu Orang Berinsurans yang ditimpa bencana agar dapat pulih dan kembali berfungsi dalam masyarakat.

 

KEMALANGAN BUKAN BENCANA KERJA

Selain perlindungan bagi kes bencana kerja, PERKESO turut menyediakan perlindungan kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan bukan bencana kerja.

“Pada tahun ini hingga Jun lepas, seramai 11,573 waris yang layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dengan jumlah bayaran sebanyak RM32.17 juta apabila pencarum meninggal dunia akibat berkaitan bencana kerja atau bukan bencana kerja,” menurut pertubuhan itu .

Berhubung proses tuntutan kemalangan pekerjaan, PERKESO berkata majikan diwajibkan membuat laporan rasmi kepada pertubuhan itu dalam tempoh 48 jam selepas mengetahui kes kemalangan pekerjanya menerusi borang 34 dan laporan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui portal rasmi PERKESO atau dihantar terus ke pejabat PERKESO berdekatan.

“Pekerja atau majikan perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan pekerja, laporan polis (jika berkaitan kemalangan jalan raya ketika bekerja), dan sijil cuti sakit untuk tujuan tuntutan faedah.

“Kelayakan untuk membuat tuntutan adalah terbuka kepada semua kategori pekerja termasuk warganegara Malaysia, pemastautin tetap dan pekerja asing dengan tempoh pemprosesan tuntutan berbeza mengikut jenis faedah,” tambah pertubuhan itu lagi. 

 

PROGRAM PENGURUSAN HILANG UPAYA (PHU)

Mengulas lanjut mengenai Program Pengurusan Hilang Upaya (PHU) PERKESO - satu inisiatif holistik membantu pencarum yang mengalami hilang upaya fizikal atau kognitif akibat kecederaan atau penyakit, program ini menggunakan pendekatan biopsikososial melalui rujukan pemulihan jasmani dan vokasional yang komprehensif dengan matlamat untuk memulihkan fungsi individu secara optimum agar mereka dapat berdikari dan kembali bekerja.

pic-6

Sejak dilancarkan pada 2007, program ini telah membantu 95,631 individu yang mengalami hilang upaya untuk meningkatkan kefungsian fizikal dan kognitif melalui rujukan pemulihan jasmani dan vokasional.

Pencarum dapat kembali bekerja melalui Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional menerusi program Return To Work  (RTW), dan pada tahun ini hingga Jun lepas, seramai 24,320 individu telah mendapat manfaat menerusi faedah ini dengan bayaran sebanyak RM217.95 juta.

Memberikan contoh seorang pekerja am industri agrikultur yang mengalami kemalangan jalan raya pada Jun 2022 yang mengakibatkan kecederaan serius termasuk patah pergelangan tangan kiri, patah kaki kiri, patah kaki kanan serta patah tulang klavikel kiri, pekerja itu membuat tuntutan faedah PERKESO dan dirujuk ke Program PHU untuk mendapat bantuan pemulihan dan persediaan kembali bekerja.

Kes ini diuruskan oleh Pegawai PHU PERKESO dengan melaksanakan intervensi bersepadu yang merangkumi penilaian awal, penilaian tempat kerja, program rehabilitasi intensif dan pemantauan berkala dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pegawai terapi, doktor, majikan dan keluarga.

“Hasil pendekatan holistik ini, pekerja itu berjaya kembali bekerja dengan majikan yang sama pada Januari 2024 dalam tempoh 16 bulan selepas kemalangan, berbanding sasaran awal 24 bulan atau lebih. Tahap kehilangan upaya kekalnya juga rendah kerana kapasiti kefungsian mencapai tahap optimum, sekali gus membolehkan pekerja itu terus mengekalkan kerjaya dengan majikan yang sama.

“Kes ini memberi manfaat signifikan kepada majikan melalui pengurangan tempoh cuti sakit, penjimatan kos jangka panjang berkaitan cuti sakit dan penggantian pekerja serta pengekalan tenaga kerja berkemahiran.

“Program ini memberi impak positif bukan sahaja kepada pemulihan individu tetapi juga terhadap kelangsungan operasi dan produktiviti majikan melalui pendekatan intervensi awal, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara PERKESO, pekerja, majikan dan pihak merawat menjadi kunci kejayaan dalam memastikan pekerja kembali bekerja dengan kapasiti kefungsian optimum dalam tempoh yang terkawal,” menurut pertubuhan itu.

Sementara itu, Program Rawatan Bencana Kerja (RBK) pula menyediakan kemudahan rawatan perubatan percuma di klinik panel PERKESO bagi pencarum yang mengalami kecederaan akibat kemalangan di tempat kerja. Program ini melindungi pencarum di bawah Skim Bencana Kerja mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Rawatan yang disediakan termasuk rawatan kecemasan, konsultasi klinikal, rujukan dan pemeriksaan X-ray. Program ini juga menyediakan dua sesi rawatan susulan percuma untuk kecederaan sederhana dan parah.

Menurut PERKESO, kelayakan pencarum juga boleh disemak oleh klinik panel PERKESO melalui platform SEHATi, menggunakan nombor kad pengenalan bagi warganegara dan nombor Keselamatan Sosial Pekerja Asing (KSPA) bagi pekerja asing. Setakat 12 Ogos lepas, sebanyak 2,366 klinik panel PERKESO telah berdaftar di seluruh negara. 

 

FAEDAH ORANG TANGGUNGAN

PERKESO pada masa sama menyediakan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang merupakan bayaran kewangan kepada orang tanggungan kepada pekerja atau pencarum yang meninggal dunia akibat kemalangan berkaitan pekerjaannya.

pic-7

Sekiranya pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan, waris pencarum yang layak boleh menerima FOT. Sejak Januari hingga Jun lepas, PERKESO telah menyalurkan bayaran FOT berjumlah RM215.69 juta kepada 48,730 penerima.

Kadar faedah harian yang akan dibayar ialah 90 peratus daripada gaji harian purata anggapan pekerja tertakluk kepada kadar minimum RM30 sehari dan maksimum RM178.50 sehari.

“Bagi orang tanggungan dan syer kadar harian adalah mengikut keutamaan dengan kadar balu atau duda adalah tiga per lima dan layak menerima faedah seumur hidup meskipun balu atau duda berkahwin semula (mulai atau selepas 1 Mei 2005).

“Semua anak yang memenuhi syarat layak mendapat faedah termasuk anak kandung, anak tiri yang disara, anak angkat atau anak tidak sah taraf dengan kadar dua per lima (jika balu atau duda meninggal dunia, bahagian anak menjadi tiga perlima).

“Mereka layak menerima faedah hingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal). Jika sedang belajar di institusi pengajian tinggi, akan terima faedah sehingga mendapat ijazah pertama atau berkahwin (mana yang lebih awal). Bagi anak yang mengalami masalah mental atau menjadi tidak berupaya secara fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, layak menerima faedah selama tidak berupaya menyara kehidupannya,” jelas pertubuhan itu.

Tambah PERKESO, jika seseorang pekerja meninggal dunia akibat bencana pekerjaan dan tidak meninggalkan balu atau duda atau anak, FOT akan dibayar kepada ibu bapa dengan kadar 4/10, layak menerima faedah seumur hidup; adik beradik (3/10, layak menerima faedah hingga umur 21 tahun atau berkahwin (mana yang lebih awal); dan datuk atau nenek (sekiranya ibu bapa tiada, 4/10, layak menerima faedah seumur hidup). 

Bagi FPM pula bayaran sebanyak RM3,000 berkuat kuasa 1 Jun 2024 diberikan kepada waris yang layak untuk menampung keperluan kewangan dan sokongan khususnya dari sudut kewangan. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.

 

AKTA KESELAMATAN SOSIAL PEKERJA 1969 (AKTA 4)

Menekankan PERKESO memandang serius kegagalan majikan melaporkan kemalangan pekerjaan, pertubuhan itu berkata mengikut Akta 4 dan peratuan-peraturan di bawahnya, majikan wajib melaporkan sebarang kemalangan yang dialami pekerja dalam tempoh 48 jam selepas dimaklumkan atau boleh dikenakan denda hingga RM10,000, penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. 

“PERKESO melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran KKP serta mengurangkan kemalangan di tempat kerja termasuklah pelaksanaan program advokasi berhubung perkara itu secara berterusan sama ada langsung atau melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Program OPS Cegah, promosi Vision Zero dan hebahan media sosial.

“Antara lain, program intervensi seperti Vision Zero Support Programme dan Work-Related Road Safety (WRRS) Support Programme serta menganjurkan latihan dan bengkel keselamatan untuk majikan dan pekerja.

“PERKESO turut melaksanakan pemeriksaan tempat kerja dan audit risiko pekerjaan bagi mengenal pasti serta mengawal potensi bahaya. Organisasi yang menunjukkan prestasi keselamatan cemerlang pula diberikan insentif dan pengiktirafan,” kata pertubuhan itu, menambah PERKESO turut memanfaatkan teknologi serta analisis data kemalangan untuk merangka intervensi yang lebih tepat dan berkesan, khususnya bagi majikan dalam kategori berisiko tinggi.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan