BELANJAWAN 2025 > BERITA

IHPR Malaysia Catat Penurunan Perlahan 3.8 Peratus Pada Julai

28/08/2025 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) mencatatkan penurunan yang lebih perlahan sebanyak 3.8 peratus pada Julai 2025 berbanding kemerosotan 4.2 peratus dalam bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan pada Julai 2025 adalah disebabkan oleh kelembapan dalam sektor perlombongan dan pembuatan sejak awal tahun ini.

"Sektor perlombongan menyusut sebanyak 8.7 peratus (Jun 2025: -8.0 peratus), diseret oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (-9.8 peratus) dan gas asli (-4.7 peratus).

"Sama juga, sektor perkilangan melemah sebanyak 4.0 peratus (Jun 2025: -4.3 peratus) disebabkan penurunan dalam pembuatan produk petroleum bertapis serta kok (-15.7 peratus) dan pembuatan indeks komputer, elektronik dan optik (-7.6 peratus)," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus (Jun 2025: -0.3 peratus), yang disokong oleh penanaman tanaman saka (3.1 peratus).

"Walaupun sektor bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 4.0 peratus (Jun 2025: -0.2 peratus), sektor bekalan air mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.1 peratus pada Julai 2025," katanya.

Dari bulan ke bulan, Mohd Uzir berkata IPHR pengeluaran tempatan menokok 0.3 peratus pada Julai 2025 selepas susut 0.7 peratus pada bulan sebelumnya.

"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan melonjak sebanyak 2.5 peratus (Jun 2025: -1.0 peratus), disumbangkan pengembangan dalam indeks tanaman saka (4.6 peratus).

"Dalam sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air, masing-masing menyaksikan kenaikan sebanyak 3.4 peratus dan 0.9 peratus," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata sektor perlombongan kekal tidak berubah pada Julai 2025, selepas mencatatkan tambahan 4.6 peratus pada bulan sebelumnya.

"Sektor perkilangan, sebaliknya, mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.1 peratus (Jun 2025: -1.2 peratus), selepas diseret oleh pembuatan produk komputer, elektronik dan optik (-0.5 peratus) dan pembuatan produk makanan (-0.4 peratus)," katanya.

Melihat kepada negara-negara terpilih, beliau berkata IHPR Julai 2025 menunjukkan trend yang bercampur-campur, dengan IHPR Amerika Syarikat meningkat sebanyak 3.3 peratus, Jepun mengalami pengembangan 2.6 peratus, sementara China susut 3.6 peratus dan Thailand merosot 4.2 peratus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan