BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelepasan Nyamuk Wolbachia Berkesan, Kurangkan Kes Denggi Hingga 100 Peratus

28/08/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Program Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia (WMO) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan hasil memberangsangkan dalam usaha membendung penularan kes denggi di negara ini, dengan data awal menunjukkan penurunan kes hingga 100 peratus di beberapa lokaliti terlibat.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata berdasarkan penilaian setelah enam tahun pelaksanaannya, sebanyak 20 daripada 45 lokaliti pelepasan atau 44.4 peratus yang telah tamat tempoh pelepasan nyamuk aedes WMO selama dua tahun, menunjukkan pengurangan kes antara 45 hingga 100 peratus.

Beliau berkata 25 lokaliti lagi masih memerlukan tempoh pemantauan sekurang-kurangnya dua tahun sebelum penilaian selanjutnya.

“Penyelidikan berkaitan wolbachia telah dimulakan sejak 2017 dan seterusnya dioperasikan secara rasmi bermula pada 2019. Hingga kini, sebanyak 60 lokaliti telah dilibatkan dalam pelepasan nyamuk aedes berWolbachia merangkumi 15 lokaliti kajian dan 45 lokaliti lagi adalah di bawah pengoperasian pelepasan nyamuk aedes berWolbachia.

“Analisis data pelepasan di lokaliti kajian menunjukkan bahawa intervensi pelepasan berWolbachia telah mencapai keberkesanan antara 60 hingga 80 peratus dalam mengurangkan insiden kes denggi di kawasan yang menerima pelepasan nyamuk berWolbachia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Lukanisman menjawab soalan Senator Dr A. Lingeshwaran yang ingin tahu sama ada analisis perbandingan keberkesanan kos dan impak jangka panjang strategi kawalan vektor denggi dengan nyamuk WMO berbanding pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dengan vaksin denggi di Malaysia, telah dilakukan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kajian analisis kos keberkesanan WMO sedang dijalankan Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH) dan hasil kajian dijangka diperoleh pada Mac 2026.

Bagaimanapun, Lukanisman menjelaskan bahawa kajian itu hanya membandingkan kos keberkesanan WMO berbanding kawalan denggi sedia ada dan tidak melibatkan perbandingan dengan NIP yang menggunakan vaksin denggi.

“Memandangkan NIP menggunakan vaksin denggi masih belum dilaksanakan di Malaysia, perbandingan data keberkesanan kos pelaksanaan pengoperasian nyamuk aedes berWolbachia dengan vaksin denggi tidak dapat dilakukan.

“Setakat ini, hanya Brazil telah memperkenalkan Qdenga dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 2024. Namun, Kementerian Kesihatan Brazil belum menerbitkan lagi laporan berkaitan keberkesanaan Qdenga,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Lingeshwaran sama ada kerajaan mempertimbangkan gabungan strategi kawalan nyamuk dan vaksin dalam mengurangkan kes denggi, Lukanisman berkata kerajaan bercadang untuk memperkenalkan vaksin Qdenga, namun pihaknya sedang mengkaji tahap keberkesanan dan kos penggunaan.

Beliau berkata setakat ini, harga pasaran Qdenga di Malaysia ialah kira-kira RM400 hingga RM450, satu kos yang dianggap masih lagi tinggi untuk pelaksanaan berskala besar.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan bahawa Qdenga hanya sesuai untuk dipertimbangkan di negara dengan kadar penularan denggi yang tinggi, iaitu kadar jangkitan melebihi 60 peratus pada usia sembilan tahun atau kemuncak umur kemasukan hospital akibat denggi bawah 16 tahun, namun di Malaysia kriteria ini masih lagi tidak mencapai tahap ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kos bagi seekor nyamuk WMO dianggarkan 35 sen bagi pakej pelepasan penuh dan KKM sedang mengkaji kerjasama awam-swasta termasuk melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mengurangkan beban kewangan serta memperluas impak program.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan