BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hampir 3,000 Mahasiswa UMK Bergelar Usahawan

28/08/2025 05:34 PM

BACHOK, 28 Ogos (Bernama) -- Hampir 3,000 mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya bergelar usahawan dari Januari hingga Jun tahun ini, meskipun masih dalam tempoh pengajian.

Naib Canselor UMK Prof Dr Arham Abdullah berkata pencapaian itu hasil galakan berterusan universiti melalui Pusat Keusahawanan (UMKEI) yang melaksanakan pelbagai program serta inisiatif khusus bagi melahirkan mahasiswa berdaya saing dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata mahasiswa berkenaan mampu menjana pendapatan sendiri antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan dengan mengusahakan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, pakaian serta produk kesihatan.

“Pihak universiti komited untuk terus menyokong dan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar, malah setiap pelajar juga digalakkan membuka Syarikat Siswa Universiti (SSU) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Hampir setiap tahun kita berjaya merekodkan mahasiswa yang bergelar usahawan dengan meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM10,000 sebulan. Hal ini satu pencapaian yang membanggakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Naratif Aspirasi 200 Hari Naib Canselor dan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 Peringkat Universiti di Dewan Universiti Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok, hari ini.

Mengulas mengenai sambutan kemerdekaan itu, Arham berkata pihaknya menampilkan kelainan tahun ini dengan lintasan hormat menggunakan 10 pesawat dan jet pejuang kawalan jauh.

“Kita menjemput satu pasukan pesawat kawalan jauh untuk melakukan lintas hormat di udara, membawa Jalur Gemilang serta bendera universiti selama kira-kira 15 minit.

“Persembahan itu mendapat sambutan lebih 1,000 petugas UMK. Pihak UMK sentiasa prihatin dalam memartabatkan kemerdekaan negara yang kini sudah berusia 68 tahun,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan