BELANJAWAN 2025 > BERITA

Felda Perasu Berpesta Cahaya Sambut Merdeka

28/08/2025 10:55 PM

GUA MUSANG, 28 Ogos (Bernama) -- Felda Perasu berpesta cahaya apabila ribuan lampu diod pemancar cahaya (LED) bergemerlapan bersama ratusan Jalur Gemilang yang berkibar megah di setiap sudut perkampungan.

Suasana meriah itu tercipta hasil inisiatif penduduk tanah rancangan berkenaan yang bergotong-royong menghias halaman rumah masing-masing sejak dua minggu lepas dengan pelbagai replika dibaluti LED bertemakan sambutan Hari Kebangsaan.

Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita Felda Perasu Aminah Mohamad berkata lebih 1,000 penduduk di kawasan itu bersemangat menzahirkan kecintaan terhadap negara menerusi aktiviti itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan sekali gus memupuk rasa patriotik dalam kalangan generasi muda.

“Penyertaan kebanyakannya daripada warga emas yang tidak kisah berbelanja hingga mencecah ribuan ringgit semata-mata untuk meraikan Hari Kebangsaan minggu depan.

“Semangat patriotik mereka sangat luar biasa, malah ada yang memasang lagu-lagu patriotik dan mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita di Felda Perasu, di sini hari ini.

Seorang penduduk, Saluma Hassan, 62, berkata dia membelanjakan hampir RM500 untuk membeli lampu LED dan Jalur Gemilang bagi menghiasi bahagian hadapan rumahnya.

“Saya dan suami bergotong-royong menceriakan kawasan rumah setiap pagi sehingga tengah hari sejak dua minggu lalu. Untuk lampu sahaja kami belanja lebih RM300 manakala Jalur Gemilang hampir RM200.

“Kami tinggal berdua dan hanya menghias ala kadar mengikut kemampuan. Tapi bila melihat rumah jiran yang begitu meriah, kami bercadang untuk menambah lagi lampu dan bendera,” katanya.

Bagi Mat Yunus Majid, 69, beliau memilih untuk menyerlahkan kreativiti dengan menggubah bahan buangan menjadi replika bertemakan Hari Kebangsaan.

“Saya gunakan botol minuman terpakai untuk membina replika Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan kereta kebal, yang kemudian dipasang lampu LED dan diletakkan di halaman rumah. Sebanyak 60 botol digunakan untuk menghasilkan dua replika ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan