BELANJAWAN 2025 > BERITA

Insiden Lampau Kilat Sebabkan Gangguan Sementara Bekalan Elektrik Di KLIA2 - MAHB

29/08/2025 01:17 AM

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Satu kejadian gangguan sementara bekalan elektrik telah berlaku di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, susulan insiden lampau kilat melibatkan penyambungan kabel, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAHB dalam satu kenyataan memberikan jaminan bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas kerana sistem penting terus berfungsi tanpa gangguan.

“Sistem kuasa utama termasuk penjana sokongan diaktifkan serta-merta, memastikan sistem kritikal seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan, berfungsi seperti biasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan MAHB itu memaklumkan bahawa pasukan teknikalnya telah bertindak pantas dan profesional dengan mengalihkan bekalan kuasa dari pencawang alternatif dan berjaya memulihkan bekalan sepenuhnya dalam tempoh 28 minit.

“Semua perkhidmatan penting kekal beroperasi sepanjang tempoh itu,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan bahawa satu laporan penuh mengenai insiden gangguan bekalan elektrik di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sedang disediakan untuk diserahkan kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

“Kami sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap insiden ini, bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang dan memastikan ketahanan infrastruktur kami,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, KLIA2 mengalami gangguan elektrik pada jam 2.15 petang hari ini, dan Menteri Pengangkutan menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali, kerana menjejaskan imej negara.

Insiden tersebut berlaku ketika Anthony Loke berada di KLIA2 bagi pelancaran kempen Tap, Travel and Discover anjuran gateway@klia2.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan