BELANJAWAN 2025 > BERITA

Citra MADANI Satukan Rakyat Malaysia, Tonjol Semangat Perpaduan

31/08/2025 10:16 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Persembahan khas Citra MADANI yang buat kali pertama ditampilkan pada sambutan Hari Kebangsaan menonjolkan semangat perpaduan yang utuh dan harmoni dengan penyatuan lima kaum utama di negara ini melalui persembahan tarian penuh tenaga.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata segmen itu disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perpaduan Negara, pelajar Kementerian Pendidikan, sekolah seni serta kumpulan Permata Seni.

“Citra MADANI menonjolkan lima komponen utama kaum di Malaysia yang dizahirkan melalui persembahan dramatik dan penuh semangat oleh 1,000 peserta selaras dengan tema sambutan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

“Penglibatan rakyat secara besar-besaran itu mencerminkan usaha kerajaan dalam memastikan rakyat terus terlibat secara menyeluruh dalam acara kenegaraan sekali gus memupuk semangat cintakan tanah air,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata persembahan yang dikoordinasikan JKKN itu menjadi acara penutup tirai sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang turut disokong formasi Human Graphic melibatkan 2,000 pelajar sekolah.

“Citra MADANI ialah usaha kolektif yang menghimpunkan kepelbagaian bakat rakyat Malaysia dari peringkat sekolah sehingga ke agensi keselamatan untuk menzahirkan kekuatan sebenar negara, iaitu perpaduan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan