BELANJAWAN 2025 > BERITA

10 Maut, 50 Cedera Gempa Bumi Landa Timur Afghanistan

01/09/2025 10:04 AM

ISTANBUL, 1 Sept (Bernama-Anadolu) -- Sepuluh orang maut manakala 50 lagi cedera dalam perkembangan terbaharu gempa bumi yang melanda timur Afghanistan lewat Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik perkhidmatan Pashto BBC.

Wilayah Kunar merupakan kawasan paling terjejas dengan korban disahkan pihak berkuasa tempatan.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku pada 11.47 malam waktu tempatan (1917GMT), 27 kilometer timur laut Jalalabad pada kedalaman lapan kilometer.

Direktorat Kesihatan Awam Nangarhar melaporkan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital wilayah.

Jurucakap pentadbiran sementara Afghanistan, Zabihullah Mujahid mengesahkan gempa bumi itu menyebabkan korban jiwa.

“Dukacita dimaklumkan, gempa bumi malam ini telah mengakibatkan kematian dan kerosakan harta benda di beberapa wilayah timur,” tulis beliau di platform media sosial X. 

Mujahid berkata pegawai tempatan dan penduduk sedang menjalankan operasi menyelamat, manakala pasukan bantuan dari wilayah pusat dan berdekatan telah digerakkan ke kawasan terjejas.

“Segala sumber yang ada akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

USGS turut melaporkan sekurang-kurangnya dua lagi gegaran susulan, masing-masing berukuran 5.2 pada skala Richter melanda kawasan sama selepas gempa bumi pertama.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan