BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keluarga Wan Ahmad Faris Serah Memorandum Tuntut Keadilan

01/09/2025 03:30 PM

KOTA BHARU, 1 Sept (Bernama) -- Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tingkatan empat yang ditemukan maut dalam keadaan tergantung di sebuah tandas sekolahnya pada Disember 2013, hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh wakil keluarga Ali Hanafiah Mohamed kepada Mohd Anas Ridzuan Shamsuddin, yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat.

Ali Hanafiah berkata memorandum itu, merangkumi tiga tuntutan utama termasuk penjelasan mengenai perobohan lokasi kejadian (tandas sekolah) sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan.

“Kami juga menuntut ketelusan dalam kawalan keselamatan sekolah, termasuk tindakan susulan terhadap insiden pergaduhan sebelum tragedi berlaku.

“Selain itu, kami mahu kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan menunjukkan komitmen, dengan memastikan maklumat berkaitan tersedia untuk orang awam serta membuka ruang sekiranya kes ini perlu dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di sini.

Turut hadir kedua-dua ibu bapa Allahyarham, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob dan Ruhani Hussin bersama penyokong keluarga.

Pada 20 Ogos, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, di Kok Lanas. Mayatnya dilaporkan ditemukan penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu.

Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah. Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan