BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelabuhan Klang Antara 10 Pelabuhan Utama Dunia - Lloyd's List 2025

01/09/2025 03:42 PM

PUTRAJAYA, 1 Sept (Bernama) -- Malaysia mencatatkan sejarah baharu dalam sektor maritim apabila Lloyd’s List 2025 mengumumkan Pelabuhan Klang berada di tangga ke-10 dalam senarai 100 Pelabuhan Utama, sekali gus menempatkannya dalam kelompok 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia buat julung-julung kali.

Berdasarkan pencapaian itu, Pelabuhan Klang telah mengatasi Hong Kong sekali gus mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini.

Dalam kenyataan pada Isnin, Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan lonjakan ke tangga ke-10 itu turut melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lepas -- tangga ke-13 (2022) dan ke-11 (2023).

Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, fasiliti dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan global, tambahnya.

“Pelaburan dan pembangunan strategik kemajuan ini turut disokong oleh projek pembangunan infrastruktur Westports menerusi pengembangan terminal baharu (CT10-CT17) yang dijangka menggandakan kapasiti daripada 14 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) kepada 28 juta TEU menjelang 2028.

“Projek juga meliputi di Northport iaitu menaik taraf Dermaga 9 dan fasiliti lain bagi menyokong operasi kapal lebih besar dan volum pengendalian yang meningkat, manakala di Pulau Carey dengan projek mega jangka masa panjang berpotensi meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU setahun menjelang 2060," menurut MOT.

Kementerian itu juga memaklumkan selain Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024, di samping mencatatkan lonjakan pengendalian kepada 12.25 juta TEU pada 2024, iaitu peningkatan 16.9 peratus daripada 10.48 juta TEU pada 2023.

“Gabungan kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia,” jelas MOT.

Pada 2024, Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU, meningkat 4.1 peratus daripada 14.06 juta TEU pada 2023.

Kementerian itu menambah walaupun berdepan cabaran global seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuai dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa.

“Berdasarkan momentum itu, pengendalian dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan ini dalam kalangan hab maritim utama dunia,” menurut MOT.

Lloyd's List adalah penerbitan tertua di dunia yang memberi tumpuan kepada industri perkapalan dan maritim global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan