BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cuaca Buruk Paksa Flotila Bantuan Gaza Kembali Ke Barcelona

01/09/2025 11:11 PM

MADRID, 1 Sept (Bernama-dpa) – Sebuah flotila aktivis pro-Palestin melibatkan lebih 20 bot kembali ke Barcelona, Sepanyol pada Isnin selepas berdepan cuaca buruk, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Disebabkan keadaan cuaca tidak selamat, kami menjalankan percubaan laut dan kemudian kembali ke pelabuhan untuk menunggu ribut reda,” kata penganjur flotila itu menerusi hantaran di Instagram. Flotila Sumud Global berlepas dari pelabuhan bandar itu pada Ahad.

Jurucakap flotila memberitahu akhbar El País bahawa pelayaran dijangka disambung semula pada Isnin malam jika keadaan mengizinkan.

Flotilla Sumud Global bertujuan memecahkan sekatan laut Israel di pesisir Gaza bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk. “Sumud” bermaksud ketabahan dalam Bahasa Arab.

Penganjurnya menyatakan ia adalah tindakan terbesar seumpamanya setakat ini.

Antara aktivis yang menyertai ialah aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, yang sebelum ini turut serta dalam pelayaran sama menaiki kapal Madleen awal tahun ini.

Tentera Israel menaiki kapal itu kira-kira 200 kilometer dari pesisir pantai pada 9 Jun lepas dan membawanya ke Ashdod, sebuah pelabuhan Israel di utara Semenanjung Gaza. Thunberg bersama aktivis lain kemudian diusir.

Israel sebelum ini telah menggagalkan beberapa cubaan memecahkan sekatan laut berkenaan. Cubaan oleh sebuah kapal Itali pada Julai lepas juga dihalang.

Menerusi laman sesawangnya, Flotila Sumud Global menyatakan matlamatnya bersama organisasi rakan adalah “untuk memecahkan kepungan haram ke atas Gaza melalui laut, membuka koridor kemanusiaan, dan menamatkan genosid berterusan terhadap rakyat Palestin.”

Puluhan bot dijangka berkumpul menuju ke Gaza, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan