BELANJAWAN 2025 > BERITA

Asia Akan Kekal Terajui Pembuatan Cip Lima Tahun Akan Datang - Moody's Ratings

02/09/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Asia akan mengekalkan kepimpinannya dalam pembuatan cip untuk tempoh lima tahun akan datang, disokong oleh kelebihan kos, ekosistem yang mantap dan kepakaran teknikal yang mendalam, kata Moody’s Ratings hari ini.

Ia berkata ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi mendorong syarikat-syarikat semikonduktor Asia untuk mempelbagaikan operasi secara geografi.

“Asia kini menguasai lebih 75 peratus daripada keseluruhan kapasiti pembuatan cip, merangkumi fabrikasi wafer untuk logik, memori dan cip DAO — termasuk diskret, analog, optoelektronik dan penderia — serta bekalan bahan utama,” kata Moody’s Ratings dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Ia berkata ekonomi-ekonomi di  Asia Selatan dan Asia Tenggara sedang muncul sebagai hab bahagian hiliran, tetapi jurang teknikal mengekang keupayaan mereka untuk memperoleh nilai ekonomi yang lebih besar.

Moody’s Ratings berkata Malaysia menerajui dalam bidang pemasangan, pengujian dan pembungkusan, manakala India sedang berkembang dalam bidang fabrikasi dan reka bentuk.

“Semikonduktor akan memacu pertumbuhan eksport bagi ekonomi-ekonomi ini, namun kemajuan ke segmen bernilai lebih tinggi terbantut disebabkan oleh kelemahan dalam penyelidikan dan pembangunan, harta intelek, bakat serta infrastruktur di kebanyakan negara.

“Kemajuan akan bergantung kepada sokongan kerajaan, inovasi dan perkongsian global,” katanya.

Moody’s Ratings berkata Taiwan, Korea dan Jepun akan mengekalkan kepimpinan mereka dalam pembuatan cip termaju walaupun terdapat peningkatan pelaburan luar negara dan pertumbuhan di China.

“Walaupun China beralih kepada pembekal domestik yang menyebabkan sebahagian permintaan terjejas, kepelbagaian dalam eksport dan pelaburan ke dalam ekonomi Asia yang sedang pesat membangun berkemungkinan mengimbangi kesan ini,” katanya.

Ia berkata kekurangan bekalan pada era pandemik mendedahkan kelemahan dalam rantaian bekalan yang tertumpu di rantau ini, manakala ketegangan geopolitik yang berterusan khususnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China, telah memperhebatkan desakan untuk kepelbagaian lokasi.

Moody’s Ratings menegaskan bahawa kelebihan daya saing Asia terletak pada kelebihan kos, integrasi ekosistem yang mendalam dan tenaga kerja mahir.

“Sebagai contoh, kos tenaga kerja di AS adalah kira-kira dua hingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding di Asia. Pembuatan wafer di AS sekitar 50 peratus lebih mahal berbanding di Taiwan disebabkan oleh perbelanjaan penubuhan dan operasi kilang yang lebih tinggi merangkumi kos buruh, tanah dan utiliti,” tambahnya.

Selain gaji, Moody’s Ratings berkata loji fabrikasi di Asia juga mempunyai kos utiliti dan infrastruktur yang jauh lebih rendah; subsidi utiliti boleh mencecah sehingga 30 peratus di Taiwan dan 70 peratus di China, manakala sokongan seumpama itu jarang terdapat di pasaran Barat.

Ia menunjukkan pengembangan operasi semikonduktor di luar Asia kekal mencabar dari segi komersial disebabkan oleh intensiti modal yang tinggi dan struktur kos yang kurang berdaya saing.

“Menurut Boston Consulting Group (BCG), usaha untuk meniru rantaian bekalan tempatan yang serba lengkap dengan kapasiti penuh dianggarkan memerlukan pelaburan tambahan awal sebanyak US$1 trilion (US$1=RM4.22), yang boleh menaikkan harga cip sebanyak 35 peratus hingga 65 peratus dengan kos akhirnya ditanggung oleh pengguna,” tambah Moody’s Ratings.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan