BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Sasar 55 Projek Tebatan Banjir Baharu Menjelang 2030 - TPM Fadillah

02/09/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Sebanyak 55 projek tebatan banjir baharu dijangka dapat disiapkan menjelang 2030, berbanding hanya 17 projek yang disiapkan hingga 2024, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sasaran berkenaan merupakan antara lima sasaran utama di bawah agenda pengukuhan mitigasi dan adaptasi banjir dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Bagi pengukuhan mitigasi dan adaptasi banjir dalam usaha memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kemampanan ekonomi negara, langkah akan diambil untuk menyegerakan pembangunan infrastruktur mitigasi banjir, menerapkan kaedah alternatif dalam adaptasi dan pengurusan banjir serta memantapkan mekanisme tadbir urus.

“Pelaksanaan semua strategi dan inisiatif di bawah RMK13 akan dipantau secara telus, sistematik dan menyeluruh bagi memastikan manfaat daripada keberhasilan dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan RMK13 bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata sasaran lain termasuk melindungi tambahan 846,000 penduduk daripada bencana banjir kepada satu juta, berbanding 154,000 orang sebelum ini selain turut meliputi kawasan seluas 1,400 kilometer persegi dalam tempoh terbabit.

Dalam tempoh RMK13 juga, beliau berkata pembinaan empat kolam takungan dwifungsi serta pembangunan 12 lembangan sungai bersepadu baharu akan dimulakan.

Fadillah berkata pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani bencana banjir, termasuk pendekatan berasaskan struktur dan bukan struktur di seluruh negara, namun isu dan cabaran masih wujud terutama kerencaman pembangunan infrastruktur banjir dengan kos yang tinggi serta  langkah adaptasi dan tadbir urus tidak bersepadu.

Beliau berkata kementeriannya sentiasa berdepan dengan cabaran dalam melaksanakan projek pembangunan bagi sektor air yang menjadi penghalang kepada kepesatan pembangunan projek.

“Antara cabaran utama projek ini ialah isu pengambilan tanah persendirian di sepanjang jajaran sungai yang memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak terutamanya kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek. Kerja pengalihan utiliti juga menjadi faktor kekangan kepada kemajuan pelaksanaan projek,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata PETRA telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu operasi dan pelaksanaan di tapak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan