BEIJING, 3 Sept (Bernama-CMG) -- Majlis memperingati ulang tahun ke-80 Kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, berlangsung dalam suasana penuh takzim di Dataran Tian'anmen di Beijing, pagi Rabu.
Presiden China Xi Jinping yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan Pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat menyampaikan ucaptama sempena majlis berkenaan.
Berikut teks ucapan penuh Presiden Xi Jinping: Rakan-rakan senegara, Tuan Yang Terutama ketua-ketua negara dan kerajaan serta wakil-wakil pertubuhan antarabangsa, Dif-dif yang dihormati, Semua pegawai dan askar yang menyertai perbarisan, serta rakan-rakan sekalian,
Hari ini kita berhimpun di sini untuk memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, bersama-sama mengingati sejarah, mengenang pahlawan, menghargai keamanan dan mencipta masa depan.
Saya mewakili Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Dewan Negara, Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China dan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat menyampaikan penghormatan tertinggi kepada semua veteran, komrad, patriot dan pegawai tentera yang pernah terlibat dalam perang, serta seluruh rakyat China di dalam dan luar negara yang menyumbang kepada kemenangan perang itu.
Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada kerajaan dan rakan-rakan asing yang menyokong dan membantu rakyat China dalam perjuangan menentang pencerobohan.
Saya juga mengalu-alukan kehadiran semua tetamu asing pada majlis peringatan hari ini.
Rakan-rakan sekalian,
Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun satu perjuangan mulia yang penuh onak dan ranjau.
Di bawah panji barisan bersatu melibatkan seluruh bangsa yang ditubuhkan atas inisiatif Parti Komunis China, rakyat China mencurahkan sepenuh jiwa dan raga untuk melawan musuh dan mempertahankan negara, sehingga meraih kemenangan mutlak pertama dalam melawan pencerobohan luar sejak memasuki zaman moden.
Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun merupakan komponen penting dalam Perang Anti-Fasis Dunia.
Dengan pengorbanan yang amat besar, rakyat China memberi sumbangan yang signifikan untuk menyelamatkan tamadun manusia dan memelihara kedamaian dunia.
Sejarah membawa iktibar bahawa manusia sejagat berkongsi nasib.
Hanya apabila semua negara dan bangsa menghormati satu sama lain secara sama rata, hidup berdampingan secara harmoni dan saling membantu, barulah kita dapat menjamin keselamatan bersama, menghapuskan punca berlakunya peperangan dan mengelak tragedi berdarah daripada berulang.
Rakan-rakan sekalian,
Bangsa China tidak gentar akan sebarang kekerasan, sentiasa berdikari dan bermandiri.
Pada ketika itu, tatkala berdepan perlawanan antara yang adil dan yang jahat, yang terang dan yang gelap serta yang progresif dan yang kolot, rakyat China sehati sejiwa bangkit menentang musuh, berjuang demi kelangsungan negara, kebangkitan bangsa dan keadilan manusia sejagat.
Hari ini, umat manusia sekali lagi berhadapan dengan pilihan antara kedamaian dan perang, antara dialog dan konfrontasi, antara sama menang dan campur tangan.
Rakyat China berdiri teguh di dalam sejarah, di sisi kemajuan tamadun manusia, komited menempuh jalan pembangunan secara damai dan berganding bahu dengan rakyat seluruh dunia untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Tentera Pembebasan Rakyat China merupakan tentera perwira yang boleh dipercayai sepenuhnya oleh Parti dan rakyat.
Semua anggotanya perlu sentiasa setia kepada tugasan yang diamanahkan, berusaha mengetengahkan diri sebagai angkatan tentera kelas pertama dunia, tegas memelihara kedaulatan, penyatuan dan keutuhan wilayah negara, sekali gus memberi sokongan strategik kepada usaha mewujudkan kebangkitan bangsa serta memberi sumbangan lebih besar untuk kedamaian dan pembangunan dunia.
Sejarah merekodkan masa silam dan juga mencetuskan inspirasi untuk masa depan.
Perjuangan mulia demi kedamaian dan pembangunan manusia pasti berjaya.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial