KUCHING, 3 Sept (Bernama) -- Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau serantau menerusi projek rintis eksport hidrogen dan perkongsian strategik dengan negara luar, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata Sarawak kini sedang melaksanakan projek rintis untuk mengeksport hidrogen dalam bentuk pepejal ke Singapura menggunakan teknologi magnesium hidrada, yang membolehkan pengangkutan lebih selamat dan cekap sebelum hidrogen dicairkan untuk digunakan.
“Kami memulakan pengeluaran hidrogen dengan kilang berskala kecil, walaupun kos awalnya adalah tinggi. Bagaimanapun, seperti teknologi komputer yang semakin murah dari semasa ke semasa, kos pengeluaran hidrogen dijangka berkurangan dengan teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya pada sesi dialog pada Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Baharu (SAREF 4.0) di sini hari ini.
Mengenai kerjasama antarabangsa, Abang Johari berkata Sarawak bekerjasama rapat dengan negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu untuk memajukan teknologi hidrogen dan tenaga boleh baharu.
“Bersama dengan Jepun, kami merancang untuk mengeluarkan 100,000 tan hidrogen setiap tahun, dengan 90,000 tan dieksport ke Jepun dan bakinya untuk penggunaan tempatan,” katanya.
Abang Johari berkata kerjasama dengan Korea Selatan termasuk pembangunan tenaga boleh baharu, memanfaatkan rizab gas asli Sarawak yang kaya, yang boleh diproses menjadi amonia hijau, iaitu bahan api alternatif yang semakin meningkat dan mendapat perhatian global.
“Sarawak juga sedang menjalankan kajian tenaga gabungan di United Kingdom dan kerjasama dengan Amerika Syarikat mengenai teknologi tenaga termaju,” tambahnya.
SAREF 4.0 adalah sebahagian daripada program rasmi bagi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, mengukuhkan peranan penting Sarawak sebagai pemangkin kerjasama tenaga serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial