KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi menangani insiden salah laku membabitkan pemain dan pegawai pasukan bermula pada Liga Sepak Takraw: Piala Juara-juara (STL-CC) 2025 di Arena Karisma, Seremban hari ini.
Presiden ASTAF Abdul Halim Kader berkata SOP itu dijangka mampu mencegah tindak-tanduk keterlaluan pemain dan pegawai pasukan seperti menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil perlawanan dan menendang papan iklan seperti yang berlaku sebelum ini.
Beliau berkata kes-kes salah laku itu dianggap mencemari sukan sepak takraw dan wajar ditangani dengan serius dan segera.
“SOP ini akan menguatkuasakan pengenaan kad merah atau kuning terhadap pemain dan pegawai secara automatik ekoran salah laku mereka.
“Mereka wajib disusuli dengan digantung daripada beberapa perlawanan tertentu dalam kejohanan terbabit sehingga laporan aduan rasmi pengadil diterima Wakil Teknikal atau Pengarah Kejohanan dan dibicarakan serta dikenakan tindakan tertentu oleh jawatankuasa tatatertib penganjur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Abdul Halim berkata SOP itu juga akan melengkapkan dan memperjelas Fasal 16.4.1 dan 16.4.2 serta 17.2 Undang-undang Permainan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
“Sudah tiba masanya SOP ini dikuatkuasakan manakala tugas dan tanggungjawab pengadil perlawanan dikemaskinikan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim turut memaklumkan ASTAF membantu PSM melicinkan pelaksanaan SOP berkenaan dengan kehadiran 10 pengadil Malaysia bertauliah ISTAF dan lima dari India, Indonesia, Singapura, Thailand serta Korea Selatan selain 10 pegawai teknikal antarabangsa (ITO).
Beliau berkata pihaknya turut memperkenalkan satu laporan analisis pengadil perlawanan menerusi borang khas bagi menambah baik perjalanan tugas mereka dari semasa ke semasa, berkuat kuasa pada STL-CC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial