BELANJAWAN 2025 > BERITA

RMK13 Fokus Lonjakan Industri Teknologi Tinggi, Pertumbuhan Ekonomi Baharu

03/09/2025 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi dokumen penting yang merangka strategi pembangunan negara untuk tempoh lima tahun mendatang dengan tujuan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam arus global yang kian mencabar.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pembangunan negara akan ditunjangi peralihan secara menyeluruh kepada pendigitalan dan teknologi maklumat termaju terutama kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan sistem sosial berteraskan insan Madani di bawah pendekatan keseluruhan negara.

“Hala tuju RMK-13 berpaksikan kepada tiga teras Ekonomi MADANI iaitu meningkatkan siling, meningkatkan lantai dan memperkukuhkan tata kelola yang baik.

“Bagi menaikkan siling, pembangunan ekonomi negara perlu beralih kepada pivot ketiga iaitu ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan meningkatkan kerencaman ekonomi,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RMK-13 di Dewan Negara hari ini.

Kementerian Ekonomi merupakan kementerian yang terakhir menggulung perbahasan RMK-13.

Terdahulu, usul-usul RMK-13 dibahaskan selama empat hari bermula 25 hingga 28 Ogos disusuli dengan penggulungan setiap kementerian selama dua hari bermula semalam.

Dalam pada itu, Amir Hamzah yang juga diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata tumpuan akan diberikan kepada sektor dan inovasi bernilai tinggi berasaskan teknologi dan inovasi.

Peralihan ini akan memupuk budaya mencipta seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia pengeluar utama produk pengguna untuk dieksport ke seluruh dunia, sejajar dengan konsep daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’.

“Keutamaan akan diberikan untuk melonjakan industri high growth high value (HGHV) merangkumi industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi terutama semikonduktor, peralihan tenaga serta teknologi digital,” kata Amir Hamzah.

Selain itu, subsektor agromakanan dan agrokomoditi akan terus dilonjakan bagi memastikan keselamatan makanan.

Unsur nadir bumi, ekonomi hijau dan biru serta inisiatif pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon akan menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi.

Tumpuan juga diberikan kepada pelancongan, industri halal, ekonomi jingga, pengangkutan udara, perkhidmatan global dan kewangan, perdagangan, pengedaran, logistik serta industri sukan.

Strategi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030, Pelan Halal, Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Negara.

Usaha ini menyumbang kepada aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030 dan antara 30 ekonomi terbesar dunia berpaksikan ekonomi MADANI.

Selain itu, usaha merancakkan ekonomi akan dipertingkatkan dengan memperhebatkan transformasi struktur, melonjakkan pertumbuhan yang terangkum dan mampan, meningkatkan keseimbangan pembangunan antara wilayah serta memperluas integrasi ekonomi di peringkat global.

Beliau berkata kerajaan komited menyediakan pelaburan sebanyak RM611 bilion dalam tempoh RMK-13, merangkumi RM430 bilion peruntukan pembangunan kerajaan dan disokong pembiayaan syarikat berkaitan kerajaan serta kaedah perkongsian awam-swasta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan