JOHOR BAHRU, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited menyokong usaha kerajaan meningkatkan mutu sukan negara melalui penganjuran dan penyertaan kejohanan sukan berskala kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sokongan penuh akan terus diberikan kepada pembangunan sukan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mampu melahirkan atlet cemerlang, termasuk di Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN, Sukan Universiti ASEAN, Sukan Universiti Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Beliau berkata kejayaan terbaik diraih kontinjen Malaysia termasuk di Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman yang meraih satu pingat perak dan satu gangsa.
"Pingat perak disumbangkan Khiew Hoe Yean dari UCSI University dalam acara renang 400 meter gaya bebas lelaki, manakala pingat gangsa melalui Wong Ling Ching dari Politeknik Shah Alam dalam acara badminton perseorangan wanita.
"Selain itu, kejayaan atlet sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar diberi perhatian, antaranya pencapaian Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira daripada Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) Terengganu yang meraih empat pingat emas sekali gus memecahkan rekod kejohanan olahraga MSSM 2025.
"Kejayaan ini jelas memperlihatkan kemampuan atlet kita untuk bersaing pada temasya sukan besar dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SIPMA 2025 di Stadium UTM Skudai Johor Bahru malam ini.
Mengenai penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) edisi ke-10, Zambry berkata temasya itu kesinambungan daripada sembilan edisi sejak 2005 yang menjadi platform penting bagi atlet berusia 23 tahun ke bawah menonjolkan bakat.
Beliau berkata penganjuran SIPMA akan menjadi medan melahirkan muka-muka baharu yang berpotensi mewakili negara ke pentas lebih tinggi selain memperkukuh usaha melahirkan modal insan holistik melalui jaringan pendidikan dan sukan.
SIPMA edisi ke-10 membabitkan KPT dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlangsung dari 1 hingga 7 Sept, menghimpunkan 241 atlet dan 54 pegawai yang mewakili pelbagai institusi pendidikan dari seluruh negara, selain pegawai teknikal, pengadil serta sukarelawan yang terbabit dalam penganjuran.
Ia melibatkan 10 jenis sukan dipertandingkan, iaitu renang, badminton, bola sepak, tenpin boling, olahraga, hoki, bola jaring, sepak takraw, memanah dan bola tampar, dengan 121 pingat emas menjadi rebutan sepanjang kejohanan.
Lapan majlis sukan utama, iaitu MASUM, Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM), Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Majlis Sukan Kolej Vokasional Malaysia (MASKOV) dan Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial