PASIR MAS, 4 Sept (Bernama) -- Beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung dengan pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak menolak kemungkinan sekiranya saksi terdahulu daripada agensi terlibat akan turut dipanggil semula untuk berbincang mengenai isu terbabit.
"Saya lihat banyak perkara yang boleh kita buatkan syor dalam prosiding nanti dan begitu juga apabila kita dimaklumkan dengan kedudukan … sebab ada tanah persendirian.
"Apabila kita dah buat syor itu dan diperhalus, kita akan bentangkan di Dewan Rakyat. Justeru, kita akan panggil beberapa saksi lagi untuk minyak masak subsidi ini … kita akan bincang tentang pihak yang perlu dipanggil dan banyak lagi laporan dalam proses untuk kita siapkan sebelum dapat dibentangkan pada persidangan akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau pangkalan haram MCA dan Syed Agil dekat Rantau Panjang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata lawatan ke kawasan pangkalan haram di Kelantan itu bertujuan meninjau secara langsung pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran, Thailand, yang merupakan sebahagian daripada prosiding berkaitan Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Sebab itu apabila berada di dalam bilik prosiding, kita tidak merasai situasai di sempadan … tetapi, apabila kita turun ke lapangan, kita lihat sempadan ini betul-betul dekat … jadi, saya lihat banyak perkara yang boleh kita syorkan dalam prosiding nanti," katanya.
Beliau berkata PAC juga turut mengadakan tinjauan di tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan semalam untuk memberikan ruang kepada wakil rakyat di kawasan berkaitan bersama dengan pihaknya meninjau keadaan sebenar di lapangan dan mendengar penjelasan, menyatakan permasalahan serta membangkitkan isu yang mungkin memberikan kesan kepada rakyat setempat.
Tiga LRA berkenaan ialah Merbau Chondong, Jelawat dan Kelar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial