BELANJAWAN 2025 > BERITA

PMR 2025 Kedah: Pengunjung Teruja Terima Tawaran Kerja Selepas Sesi Temu Duga

04/09/2025 03:23 PM

BALING, 4 Sept (Bernama) -- Tekad untuk mendapatkan pekerjaan mendorong seorang lelaki dari Taiping, Perak keluar rumah seawal 6 pagi untuk menghadiri sesi temu duga langsung sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling hari ini.

Usaha Muhammad Syabil Shamsuddin, 20, membuahkan hasil apabila dia ditawarkan pekerjaan daripada Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) sebaik selesai sesi temu duga pagi tadi.

Muhammad Syabil berkata dia pada mulanya tidak menaruh harapan tinggi dan hanya berbekalkan resume serta sijil-sijil berkaitan untuk menghadiri sesi temu duga hari ini.

"Malam tadi saya dapat tahu mengenai Karnival Kerjaya bersempena dengan PMR Kedah di Baling. Pagi tadi saya terus bergerak sendirian menunggang motosikal ke sini.

"Saya tiba kira-kira 9 pagi tadi. Selepas mengisi borang permohonan dan melalui sesi temu duga, saya dimaklumkan layak dan diberi surat tawaran," katanya kepada Bernama sambil berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menganjurkan PMR di sini hari ini.

Muhammad Syabil berkata dia bekerja di sebuah pasar raya selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti Bera, Pahang pada Mei lepas.

"Apabila mengetahui ada peluang pekerjaan, saya terus buat keputusan untuk mencuba nasib walaupun ia berbeza dengan kursus pengajian saya sebelum ini.

"Saya agak teruja menerima tawaran ini. Masih berbaki dua hari program ini, saya akan ajak kawan-kawan yang masih mencari kerja untuk datang ke sini," katanya.

Sementara itu, Mohd Irmi Hafiz Md Saad, 28, dari Kulim yang berminat mencari pekerjaan dalam bidang otomotif, tidak melepaskan peluang mencuba nasib apabila dimaklumkan mengenai karnival kerjaya hari ini.

"Saya mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Mekatronik dari Politeknik Ungku Omar. Banyak kali juga saya pergi temu duga, jawapan mereka kalau dapat mereka akan buat panggilan, namun senyap begitu sahaja.

"Saya fikir agak ramai yang akan mohon dan mungkin peluang saya tipis untuk diterima. Tapi nak dijadikan rezeki, selepas temu duga hari ini saya dimaklumkan diterima dan akan dipanggil bertugas dalam masa terdekat," katanya.

Selepas tamat pengajian pada 2017, Mohd Irmi Hafiz bekata dia melakukan pelbagai jenis pekerjaan hingga wabak COVID-19 melanda dan menjejaskan pekerjaannya.

"Selepas itu, saya bekerja sebagai penghantar makanan dengan gaji tidak menentu, kos sara hidup yang tinggi dan kos penyelenggaraan kenderaan juga meningkat. Saya perlu memikirkan masa hadapan dengan kerjaya lebih stabil, itu antara dorongan untuk saya datang ke sini hari ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus, Modal Insan dan Pentadbiran Proton Shadeli Sham A Khalek berkata pihaknya membuka peluang pekerjaan bagi mengisi kekosongan di Proton Tanjung Malim, Perak.

"Terdapat 200 kekosongan di situ bagi pekerja pengeluaran sebelum Proton Tanjung Malim memulakan operasi sepenuhnya awal bulan hadapan.

"Setakat pagi tadi, empat calon telah kita serahkan surat tawaran pekerjaan dan kita jangkakan lebih ramai lagi calon akan terpilih esok dan lusa," katanya.

PMR 2025 Kedah bermula 9 pagi hingga 10 malam pada Khamis dan Jumaat manakala pada Sabtu, bermula 9 pagi hingga 6 petang dengan pengisian lebih bersasar dan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat setempat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan