BELANJAWAN 2025 > BERITA

AMMTC Bukan Sekadar Mesyuarat, Platform Perkukuh Kerjasama Banteras Jenayah - Saifuddin

04/09/2025 06:12 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) bukan sekadar siri mesyuarat, sebaliknya platform strategik yang menghimpunkan menteri-menteri ASEAN untuk berbincang, menyelaras dan memperkukuh kerjasama serantau dalam membanteras ancaman jenayah yang semakin kompleks. 

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata AMMTC adalah landasan penting yang menunjukkan bahawa keselamatan dan kesejahteraan ASEAN hanya dapat dicapai dengan komitmen bersama yang konsisten.

“Keselamatan rakyat dan kestabilan serantau tidak boleh dipikul oleh satu negara sahaja, sebaliknya menuntut komitmen kolektif daripada semua anggota ASEAN. 

“Sebagai tuan rumah, Malaysia bukan sahaja memperlihatkan kepimpinan dalam memperkukuh kerjasama serantau malah memastikan kepentingan serta suara rakyat terus diangkat dalam agenda keselamatan ASEAN,” katanya.

Beliau berkata jenayah seumpama itu bermula daripada jenayah rencam hingga kepada pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, keganasan dan ekstremisme sekali gus mendorong kepada jenayah narkotik, siber serta pengubahan wang haram.

Saifuddin Nasution berkata sejak kali pertama dianjurkan pada 1997, AMMTC menjadi nadi kerjasama ASEAN dalam menangani jenayah rentas sempadan. 

Beliau berkata AMMTC akan berlangsung di Melaka selama lima hari bermula 8 hingga 12 Sept ini, dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi amanah besar untuk mengendalikan mesyuarat itu sempena Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini.

Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, beliau berkata Malaysia bertekad memastikan hasil perbincangan bukan sekadar relevan tetapi berimpak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan keselamatan rantau ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan