BELANJAWAN 2025 > BERITA

"Full Gear" APMM Tarik Perhatian Pengunjung PMR Kedah

04/09/2025 07:37 PM

BALING, 4 Sept (Bernama) -- Kehadiran anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengenakan pakaian operasi lengkap atau “full gear” menarik perhatian pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling hari ini.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pendekatan itu merupakan sebahagian usaha agensi mendekatkan masyarakat dengan fungsi sebenar agensi tersebut.

“Mungkin masih ramai rakyat Malaysia khususnya yang tinggal jauh dari laut kurang mengenali APMM.

“Jadi ini antara cara kami memperkenalkan peranan APMM agar masyarakat lebih faham tanggungjawab agensi ini dalam menjaga keselamatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata selain penguat kuasa APMM, pengunjung turut dihiburkan dengan penampilan khas kanak-kanak berusia sembilan tahun Muhammad Khalish Sufi Mohd Noor Hisham yang memakai pakaian seragam APMM.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata APMM membuka peluang kepada orang ramai menyertai Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM).

Mohd Rosli berkata setakat ini, 158 sukarelawan telah berdaftar di seluruh negara iaitu masing masing 30 di Selangor, Pahang dan Sabah, Johor (29), Pulau Pinang (23) dan 16 di Putrajaya.

“Penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sekolah menengah menerusi penubuhan Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) juga digalakkan menyertai PSMM,” katanya.

Beliau berkata 586 penuntut IPTA dan pelajar sekolah telah menyertai PSMM antaranya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Baging, Kuantan, Pahang.

“Penglibatan masyarakat menerusi PSMM dan PASKAM membuktikan APMM semakin dekat di hati rakyat dan mampu menanam rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga perairan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan