KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sah tidak menyertai kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2025 pada 9 hingga 14 Sept ini.
Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata keputusan tersebut dimuktamadkan selepas mengambil kira situasi semasa pemain negara selepas pulang dari Kejohanan Dunia di Paris minggu lepas.
"Kami buat keputusan untuk tidak sertai Terbuka Hong Kong. Pada mulanya memang mahu pergi tapi kelmarin mereka bagitahu keadaan semasa khususnya Ee Wei tidak berapa baik untuk sertai.
"Mungkin atas faktor keletihan di sana (Paris) jadi kita akan fokus terus kepada Masters China," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini hari ini.
Masters China akan berlangsung pada 16 hingga 21 Sept, dua hari selepas Terbuka Hong Kong berakhir.
Pada masa sama, Nova berkata pihaknya mengutamakan penyertaan beregu campuran negara itu dalam kejohanan Super 750 dan Super 1000 setelah mengesahkan slot Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas muncul juara dunia baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial