BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Hantar 20,000 Naskhah Al-Quran Ke Kemboja

05/09/2025 09:12 PM

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia hari ini menghantar 20,000 naskhah al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Khmer ke Kemboja, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh syiar Islam di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata penghantaran itu dilaksanakan melalui Kompleks Nasyrul Quran dengan kerjasama Yayasan Restu serta penyumbang wakaf.

“Peluncuran ini bersempena sambutan Maulidur Rasul SAW dan diadakan tidak lama selepas ulang tahun kemerdekaan negara. Ia melambangkan semangat rahmatan lil ‘alamin, rahmat yang dikongsi merentasi bangsa dan sempadan negara, seiring dengan erti kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada kejahilan dan penindasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini, 420,000 naskhah al-Quran telah dihantar ke pelbagai destinasi antarabangsa, termasuk 400,000 naskhah sebelum ini dan tambahan 20,000 naskhah ke Kemboja hari ini.

“Menjelang akhir 2025, sebanyak 230,000 naskhah tambahan sedang dicetak untuk dihantar ke Jerman, Nepal, Sepanyol, Rusia, Sweden, Amerika Syarikat, negara di Amerika Selatan serta Afrika.

“Malaysia kini muncul sebagai pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia melalui Kompleks Nasyrul Quran sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penyebaran al-Quran antarabangsa, selaras dengan aspirasi Masyarakat MADANI yang diperjuangkan kerajaan,” katanya.

Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pencetus serta duta penyebaran al-Quran ke seluruh dunia melalui lawatan rasmi beliau ke pelbagai negara.

 Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Restu, Jabatan Kemajuan Islam Malausia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia, penyumbang wakaf dan rakan strategik dalam serta luar negara yang menjayakan misi berkenaan.

“Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dan terus menjadi amal jariah yang memberi manfaat berpanjangan kepada umat Islam seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan