BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perkeso Jadikan 37 Yatim Piatu Sebagai Anak Angkat

06/09/2025 12:41 PM

KUALA NERUS, 6 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu telah mengambil seramai 37 orang anak angkat berusia empat hingga 17 tahun sejak 2017 sehingga kini.

Pengarahnya Suhara Mustaffa berkata langkah itu bertujuan memastikan pendidikan dan kebajikan mereka terjaga sehingga berumur 17 tahun.

“Berdasarkan statistik, seramai 25 anak angkat diambil melalui Pejabat Perkeso Negeri, 10 anak angkat dari Pejabat Satelit Perkeso Dungun manakala dua lagi dari Pejabat Perkeso Kemaman.

“Kebanyakan anak angkat ini terdiri daripada kalangan yatim piatu. Mereka dipilih kerana ibu bapa merupakan pencarum Perkeso serta menerima faedah pencen penakat atau faedah orang tanggungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar di sini hari ini.

Suhara berkata bantuan yang disediakan meliputi kelengkapan sekolah termasuk pakaian, kasut, beg dan peralatan lain pada setiap permulaan sesi persekolahan.

“Selain itu, kelengkapan persiapan Hari Raya turut diberikan. Sekiranya mereka memerlukan tuisyen atau bantuan tambahan lain, perkara itu juga boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata program CSR hari ini melibatkan 92 anak yatim berusia sembilan hingga 17 tahun dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darul Akhyar Terengganu.

Program itu merangkumi sumbangan kipas siling baharu serta penganjuran Klinik Kerjaya oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah inisiatif Lindung Kerjaya.

“Selain itu, aktiviti sembelihan ayam dan memasak secara bergotong-royong turut diadakan bersama anak-anak yatim sebelum menikmati juadah bersama sebagai usaha mengeratkan ukhuwah antara Perkeso dan komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program itu turut disokong oleh sumbangan pelbagai pihak termasuk Wakalah Pusat Zakat Selangor, Ibu Pejabat Perkeso serta warga Perkeso sendiri yang menyumbangkan naskhah al-Quran dan wang tunai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan